Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyifatkan penindasan dan keganasan yang berlaku terhadap Rohingya sebagai contoh ‘penghapusan etnik’.

Namun, pakar analisis berpendapat, Suu Kyi yang juga pe­nerima Hadiah Nobel Keamanan sebenarnya tidak mempunyai sebarang kawalan terhadap junta tentera yang rakus menindas Rohingya.

Aaron Connely dari Institut Lowy di Sydney menyatakan, kerajaan junta yang pernah mentadbir Myanmar sejak 1962 hingga 2011 dilihat masih mengawal pasukan tentera, polis dan pelbagai jawatan penting dalam kerajaan negara itu sehingga hari ini.

“Suu Kyi tidak mampu berbuat apa-apa mengenai perkara itu (kawalan junta) dan di bawah Perlembagaan Myanmar, Ke­tua Komander Tentera Myanmar adalah individu paling berkuasa di negara tersebut dan sebarang keputusan yang dibuat tidak perlu mendapat kelulusan Suu Kyi.

“Beliau juga tidak boleh dipecat. Jika tentera perlu memilih sama ada kuasa atau penghormatan antarabangsa, mereka akan pilih kuasa,” katanya kepada CNN.

Dalam Perlembagaan Myanmar, kedudukan Ketua Komander sering mengatasi Pre­siden, selain diberi kuasa untuk mengambil alih pentadbiran jika berlaku situasi darurat.

Perlembagaan negara itu juga mengharamkan undang-undang retrospektif yang bertujuan menghalang anggota tentera daripada didakwa atas jenayah lampau termasuk mereka yang terlibat dalam penahanan Suu Kyi dan penggulingan kerajaan junta.

Dalam perkembangan lain, Amerika Syarikat (AS) akan me­nyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah hampir AS$32 juta (RM134 juta) kepada Rohingya yang melarikan diri daripada ke­ganasan di Rakhine.

Menurut Pemangku Penolong Setiausaha Jabatan Negara, Simon Henshaw, bantuan tersebut adalah komitmen AS untuk meringankan penderitaan yang ditanggung oleh Rohingya.

Bantuan itu diumumkan sehari selepas Setiausaha Negara, Rex Tillerson berdialog dengan Suu Kyi untuk mengakhiri keganasan di Rakhine dan membenarkan Rohingya pulang ke tempat asal mereka.

Sementara itu, Bangladesh menyatakan pasukan perubatan negara itu sudah merawat lebih 2,350 daripada 14,000 pelarian Rohingya atas pelbagai kecede­raan serius termasuk luka terkena peluru, ditetak dengan parang dan letupan periuk api.

Pegawai perubatan, Enayet Hussain memberitahu, hampir 200 wanita Rohingya turut melahirkan anak di kem-kem pelarian sejak tiba ke negara itu pada 25 Ogos lalu dan dianggarkan seba­nyak 20,000 orang lagi hamil.

Kira-kira 34,200 kanak-kanak Rohingya turut diberi suntikan vaksin rubela, manakala 18,410 yang lain menerima vaksin polio.

Lebih 420,000 Rohingya me­larikan diri dari Myanmar sejak Ogos lalu dan keadaan kem-kem pelarian di sempadan Myanmar-Bangladesh semakin sesak selain berdepan dengan penularan wabak penyakit serta masalah kebersihan. – AGENSI/AFP