Suspek yang belum diketahui warganegaranya itu, walaupun memiliki beberapa pasport Turki juga didakwa terbabit dengan kes penyeludupan manusia.

Ketua Turus Tentera, Jeneral Udomdej Sitabutr memberitahu AFP, suspek ditahan di sebuah apart­men empat tingkat di Soi Chueam Samphan, daerah Nong Chok, semalam.

“Kami menemui komponen pembuatan bom di dalam pangsapurinya dan kami yakin dia terbabit dalam serangan bom itu. Tetapi suspek enggan bekerjasama (kepada polis) dan ini menyukarkan kami untuk mendapatkan maklumat (daripadanya).

“Kami akan terus jalankan siasatan tanpa mencabul hak asasinya,” katanya.

Sekurang-kurang 10 orang mung­kin terbabit dalam serangan itu yang mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia dan 130 yang lain mengalami kecederaan di luar kuil Hindu itu pada 17 Ogos lalu.

Pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan insiden pengeboman itu berkait rapat dengan kumpulan sindiket pemerdangangan manusia yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis cuba memerangi kegiatan mereka secara besar-besaran, baru-baru ini.

Menurut jurucakap polis, Lt.Jen Prawuth Thavornsiri, suspek menggunakan pasport Turki untuk menyewa lima buah bilik di kompleks apartmen itu tetapi tidak menyatakan sama ada pasport itu tulen atau palsu.

“Suspek mempunyai lebih 200 pasport palsu, ini mungkin satu rangkaian antarabangsa pemalsuan kewarganegaraan bagi menyeludup pendatang haram masuk ke negara tertentu,” ujarnya. – AFP