Ram Singh, yang merupakan pemandu bas tersebut dalam satu kenyataan kepada polis berkata, dalam usaha menghapuskan bukti, dia juga bertindak membersihkan bas dan membakar pakaian mangsa.

Dia dan rakan-rakannya merancang perbuatan itu di New Delhi pada bulan lalu, untuk menculik seorang wanita dan merogolnya kerana perkara itu sangat 'menyeronokkan.'

"Saya berkata dalam diri, seandainya wanita itu hidup, dia boleh mengenali kami," menurut kenyataan itu.

Kelima-lima suspek dipercayai dipindahkan ke suatu tempat yang dirahsiakan selepas muncul di sebuah mahkamah di New Delhi pada 7 Januari lalu dan dijangka hadir semula di mahkamah hari ini untuk menghadiri perbicaraan kes itu.

Dalam perkembangan lain di India, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dirogol dalam tandas sekolahnya di Panaji, Goa, mengundang bantahan besar-besaran di bandar itu dan menyebabkan guru besar wanita sekolah itu ditangkap.

Polis berkata, insiden itu berlaku di bandar Vasco da Gama, semalam, menyebabkan orang ramai mendesak polis agar mengesan penyerang dan dikenakan hukuman yang setimpal.

Guru besar, yang namanya tidak didedahkan kerana melindungi identiti kanak-kanak itu, ditahan kerana dituduh mengabaikan tanggungjawabnya. - AGENSI/AFP