Dalam rancangan Aap Ki Kacheri yang bermaksud "Mahkamah Anda," tertuduh utama kes rogol tersebut meminta pertolongan bagi mendapatkan ganti rugi disebabkan kecederaan yang dialaminya ketika memandu sebuah bas.

Dalam episod tersebut, yang kini boleh ditonton menerusi YouTube, Singh dan pemilik bas yang menolak permintaannya untuk membayar ganti rugi, duduk di atas pentas sambil disoal oleh Bedi yang mengendalikan kes itu.

"Ram Singh cuba membuli bekas majikannya," kata Bedi, mengulas tentang rancangan itu.

Dalam rancangan itu, Singh berkata, dia penat untuk pergi ke mahkamah tribunal bagi mendapatkan ganti rugi berikutan kecederaan yang dialaminya.

"Saya terpaksa mengeluarkan banyak duit untuk bergerak ke sana sini. Saya merayu kepada anda, tolong bantu saya," katanya kepada Bedi.

Pemilik bas itu pula menolak untuk membayar ganti rugi kerana mendakwa Singh mabuk, cuai dan memandu dalam keadaan tidak cermat.

Bedi, yang juga merupakan aktivis anti-rasuah berkata, Singh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah ketika muncul dalam rakaman itu. - REUTERS