Muhammad Muzaffa Arieff junaidi
Muhammad Muzaffa Arieff junaidi

Lapor portal Bangkok Post, Muhammad Muzaffa dikatakan berada di bawah rangkaian sama dengan enam anggota pengganas lain yang ditahan pada bulan lalu dan telah meloloskan diri ke Thailand.

“Dia memasuki Thailand sebagai pelancong dan masih tiada sebarang maklumat yang boleh mengaitkannya dengan Daesh. Dia juga sering kali sering keluar masuk ke selatan Thailand dari Kelantan,” kata Ketua Tentera ke-4 Thailand, Piyawat Nakwanich.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Muhammad Muzaffa berjaya melarikan diri ke selatan Thailand dengan membawa senjata raifal M4 dan pistol pada 22 Mac lalu.

“Dia juga terlibat dalam penyeludupan senjata dari selatan Thailand,” jelas Khalid.

Sementara itu, sumber keselamatan Thailand berkata, hasil pemeriksaan dilakukan terhadap rekod imigresen Muhammad Muzaffa menunjukkan dia memasuki Thailand sebanyak empat kali tetapi meninggalkan negara itu lima kali antara bulan Mac tahun lalu sehingga April tahun ini.

Selain itu, suspek kali terakhir memasuki Thailand adalah pada 10 Februari dan meninggalkan negara berkenaan pada 15 Februari.

Walau bagaimanapun, tanpa sebarang rekod kemasukan ke negara tersebut, Muhammad Muzaffa dilihat meninggalkan Thailand pada 21 April lalu.

Suspek dikatakan keluar dari Thailand beberapa hari sebelum pihak berkuasa Malaysia melancarkan operasi membanteras mereka yang disyaki terlibat dalam kegiatan Daesh pada 24 hingga 25 April.