Lapor Channel News Asia, Ko Ni, 63, yang juga penasihat guaman Parti Liga Kebangsaan Demokratik (NLD) ditembak di kepala di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon Ahad lalu ketika sedang menunggu teksi bersama cucunya.

Menurut laporan Global New Light of Myanmar, suspek kedua iaitu Aung Win Zaw, 46, ditahan di Wilayah Kayin pada 30 Januari lalu dan didakwa sebagai dalang jenayah tersebut.

Isnin lalu, polis Myanmar menahan suspek pertama, Myint Swe di tenggara negeri Karen, berhampiran sempadan Thailand.

Polis mendakwa Myint me­ngupah pembunuh upahan, Kyi Lin, yang ditahan sebaik melepaskan tembakan ke arah Ko Ni.

Kyi Lin yang menembak Ko Ni di kepala pada jarak dekat, ditahan ketika cuba melarikan diri dari lapangan terbang ber­kenaan.

Turut maut dalam kejadian tersebut ialah seorang pemandu teksi yang ketika itu cuba menghalang tindakan Kyi Lin.

Sementara itu, polis berkata, Myint telah disoal siasat, namun enggan mendedahkan sebarang maklumat.

Polis juga masih belum me­ngesahkan motif pembunuhan Ko Ni, peguam yang lantang menyuarakan pendapat dan menentang retorik anti-Islam daripada para pengikut tegar Buddha dan juga me­ngutuk cengkaman kuasa tentera negara ini.

Dalam perkembangan berlainan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi satu laporan memperincikan segala bentuk kekejaman pasukan keselamatan Myanmar ke atas orang awam di negeri Ra­khine.

Laporan itu antara lain mendedahkan bahawa beratus-ratus penduduk dibunuh sepanjang empat bulan operasi ketenteraan ke atas umat Islam Rohingya.

Laporan berdasarkan temu bual dengan 204 pelarian Ro­hingya di Bangladesh itu menyebut, kemungkinan besar jenayah kemanusiaan berlaku di Myanmar.

‘Operasi pembersihan kawasan’ itu menyebabkan bera­tus-ratus orang mati, menurut laporan yang dikeluarkan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, merujuk kepada tindakan keras tentera yang dilancarkan sejak Oktober lalu.

Dianggarkan 47 peratus da­ripada mereka yang ditemu bual oleh PBB berkata, mereka mempunyai ahli keluarga yang terbunuh dalam operasi itu, manakala 43 peratus melaporkan dirogol.

“Saya menyeru semua komuniti antarabangsa dengan segala kekuatan untuk menyertai badan dunia ini menggesa kepimpinan Myanmar menghentikan segera semua operasi mereka.

“Kerajaan Myanmar perlu se­gera menghentikan pencabulan hak asasi manusia yang serius terhadap rakyatnya sendiri, dan bukannya terus menafikan apa yang berlaku,” kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Ra’ad Zeid al-Hussein dalam kenya­taan tersebut.