Bangkok Post memetik Ketua Polis Pattani, Mejar Jeneral Piyawat Chalermsri sebagai berkata, suspek utama itu dikenali sebagai Makorseng Ma-ae, 25, dan dipercayai berasal dari Barahom di Muang Pattani.

Menurut Piyawat, Makorseng merupakan individu berbaju T berwarna hitam yang dilihat meninggalkan sebuah trak pikap sarat dengan bom ketika hari kejadian.

Kata Piyawat, kenderaan ter­se­but kemudian diletakkan di hadapan pintu masuk pasar raya Big C itu sebelum diletupkan.

Tambah Piyawat, Makorseng turut dikehendaki polis kerana terlibat dengan tiga lagi insiden pengeboman di daerah Muang Pattani sebelum ini.

Ketika ini, Piyawat berkata, pasukan penyiasat sedang menyediakan waran tangkap untuk menahan Makorseng dan tiga lagi individu lain yang dipercayai terlibat dalam insiden pengebo­man di Pattani itu.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, Piyawat memberitahu, pasukan penyiasat percaya kejadian itu turut melibatkan tiga kumpulan yang terdiri daripada 18 individu secara keseluruhannya.

Jelas Piyawat, waran tangkap juga pernah dikeluarkan kepada sebahagian daripada individu tersebut yang dipercayai terlatih dan diuruskan oleh sebuah organisasi tersusun sebelum ini.

Menurut sumber, keempat-empat suspek utama yang disyaki terlibat dalam insiden pengeboman pasar raya Big C itu juga dikatakan terlibat dalam satu lagi insiden serangan bom di restoran Meeting dekat sini, Februari tahun lepas yang mencederakan tujuh anggota polis dan lima orang awam.

Selain itu, mereka juga dipercayai mempunyai kaitan de­ngan kejadian letupan di Hotel Southern View, Ogos tahun lepas yang meragut dua nyawa serta mencederakan 39 yang lain.

Kedua-dua lokasi berada da­lam daerah Muang Pattani.