Menurut The Times, suspek dipercayai beragama Islam itu bagaimanapun masih belum ditangkap dan dikhuatiri telah me­larikan diri ke luar negara selepas menaiki sebuah beca automatik ke Lumpini Park, di tengah Bangkok selepas serangan itu, malam Isnin lalu.

Bagaimanapun, laporan oleh koresponden The Times, Richard Lloyd Parry itu pantas dinafikan Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Poompanmoung.

Dalam laporannya, Parry mendakwa, seorang saksi 100 peratus yakin bahawa suspek adalah lelaki yang sama dengan gambar pasport yang ditunjukan kepadanya oleh seorang anggota polis.

“Saya tidak tahu dari mana sumber berita ini datang, namun saya perlu tegaskan bahawa polis melakukan tugas berdasarkan bukti yang kami ada.

“Jika polis tahu sekalipun nama suspek, saya tidak akan mendedahkannya kerana tindakan itu tidak memberi sebarang faedah,” katanya kepada sekumpulan wartawan di sini hari ini.

Dalam laporannya yang disiarkan di laman web The Times, Perry memetik kenyataan saksi bernama Nikhom Tantula, seorang pemandu beca automatik yang mendakwa membawa suspek selama lapan hari berturut-turut pada bulan Februari lalu.

“Saya yakin gambar pasport itu (yang ditunjukkan seorang anggota polis) adalah lelaki yang pernah saya bawa. Saya sangat yakin.

“Saya pernah membawanya dari Jalan Sathorn ke Hospital Asoke di tengah Bangkok,” jelas Nikhom.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Thailand meningkatkan ganjaran sejuta baht (RM112,910) kepada tiga juta baht (RM338,729) bagi sesiapa yang menyalurkan maklumat untuk menangkap suspek utama kes tersebut.

Menurut portal The Irish Times, ganjaran itu ditingkatkan sebagai usaha pihak berkuasa mempercepatkan proses penahanan suspek yang merupakan rakyat asing dan dipercayai meninggalkan negara ini.

Selain itu, portal Bangkok Post melaporkan, pegawai polis yang terlibat dalam siasatan kes itu diarahkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan ekoran kekeliruan laporan ketika siasatan masih lagi dijalankan.