Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwon yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan negara berkata, beliau telah mengarahkan Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand untuk memasukkan maklumat tersebut dalam pangkalan data.

“Tiada laporan menunjukkan suspek memasuki Thailand buat masa ini.

“Namun, saya telah mengarahkan pihak berkuasa agar memantau rapi perkara ini,” kata beliau seperti dilaporkan portal Bangkok Post.

Perkembangan terbaharu itu dilaporkan ketika polis Belgium menahan enam individu berhubung siasatan serangan berani mati tersebut sebagai sebahagian operasi memburu dua lagi suspek iaitu Mohamed Abrini dan Najim Laachraoui.

Pejabat pendakwa raya persekutuan dalam kenyataannya memaklumkan, penahanan tersebut dilakukan ketika serbuan di kawasan penempatan Schaerbeek di utara Brussels dan Jette di bahagian selatan, semalam.

Dalam pada itu, akhbar Brussels, DH melaporkan, dua daripada tiga pengebom berani mati, Khalid dan Ibrahim El Bakraoui dipercayai mahu menyerang pusat nuklear di Belgium, tetapi operasi penahanan anggota militan yang dilaksanakan pada minggu lalu menyebabkan mereka terpaksa menukar sasaran.

Akhbar DH yang memetik sumber polis berkata, kemungkinan itu timbul selepas pihak berkuasa Belgium pada Disember lalu mendedahkan penemuan rakaman video selama 10 jam di depan rumah pegawai penting pusat nuklear negara ini selepas polis melakukan serbuan bagi memburu suspek serangan Paris pada November lepas.

Jelas laporan itu, Khalid dan Ibrahim dipercayai militan bertanggungjawab melakukan aktiviti intipan tersebut, tetapi pasukan penyiasat enggan mengambil tindakan lanjut dan hanya mengetatkan tahap ke­selamatan di tapak nuklear terbabit.

Sementara itu di Paris, seorang rakyat tempatan yang dipercayai menganggotai kumpulan militan ditahan selepas disyaki cuba melancarkan serangan pengganas di Perancis.

Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuze berkata, penahanan tersebut dibuat awal pagi semalam di Argenteuil, sekali gus menggagalkan serangan pengganas yang telah lama dirancang.

“Suspek merupakan anggota rangkaian pengganas yang merancang melakukan serangan di Perancis,” kata beliau tanpa mendedahkan identiti suspek. – REUTERS