Menurut portal berita BBC, parasit malaria yang amat berbahaya itu semakin membiak dan tidak boleh dibunuh dengan vaksin anti-malaria sedia ada.

Wabak tersebut pertama kali dikesan di Kemboja pada 2007 tetapi dilaporkan sudah merebak ke beberapa kawasan di Thailand, Laos, barat Myanmar dan terbaharu ke selatan Vietnam.

Ketua Unit Penyelidikan Perubatan Tropika Oxford Bangkok, Profesor Arjen Dondorp berkata, terdapat bahaya sebenar malaria yang tidak dapat dihindari dan semakin menukar dengan pantas di Vietnam.

“Keadaan semakin membimbangkan apabila wabak tersebut tersebar begitu cepat ke seluruh rantau ini dan kami khuatir akan terus merebak ke negara-negara besar lain termasuk India dan Afrika.

“Rintangan terhadap ubat yang diberikan akan mencetus bencana besar di Afrika, kawasan di mana 92 peratus daripada semua kes malaria berlaku,” jelasnya.

Menerusi laporan yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet Infectious Diseases, para penyelidik mengeluarkan maklumat terperinci mengenai ‘perkemba­ngan dahsyat’ wabak tersebut yang telah menunjukkan ketahanan terhadap kaedah rawatan terapi utama menggunakan ubat jenis artemisinin dan piperaquine.

Dondorp berkata, rawatan itu gagal membantu lebih satu pertiga pesakit di Vietnam manakala di beberapa kawasan di Kemboja, kadar kegagalan mencecah hampir 60 peratus.

Sekitar 212 juta orang dijangkiti malaria setiap tahun disebabkan oleh parasit yang tersebar oleh nyamuk menghisap darah dan merupakan pembunuh utama kanak-kanak.