Portal berita Mail Online berkata, para penyelidik berjaya mengesan sungai yang membawa sebahagian besar sisa plastik ke laut ketika kerajaan di seluruh dunia berusaha keras menangani masalah pencemaran itu.

Sekitar 2.26 bilion tan bahan berkenaan terapung di laut dan hampir separuh daripadanya datang dari sungai Yangtze di China.

Kajian Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Helmholtz Jerman menegaskan cara paling berkesan untuk mengurangkan sisa plastik di lautan dunia adalah dengan menangani sumber-sumber pencemaran sepanjang sungai-sungai berkenaan.

Pasukan penyelidik diketuai Pakar Hidrologi, Dr. Christian Schmidt menganalisis data sisa mikroplastik berukuran kurang lima milimiter dari 79 tapak di sepanjang 57 sungai.

Hasil kajian itu mendapati Sungai Yangtze di China adalah pencemar terburuk yang mengangkut 1.5 juta tan plastik ke Laut Kuning setiap tahun.

Selain itu, Sungai Indus, Yellow River, Hai He, Ganges, Pearl River, Amur dan Mekong di benua Asia serta Sungai Nile dan Niger Gulf di benua Afrika turut tersenarai sebagai sumber terbesar sisa plastik ke laut.

Gabungan Sungai Xi, Dong dan Zhujiang di China dan empat sungai Indonesia melibat Brantas, Solo, Serayu dan Progo turut menjadi penyumbang besar pencemaran plastik dengan jumlah keseluruhan 205 juta ki­logram.

“Sungai yang mengalir dari kawasan pedalaman ke laut adalah pengangkut utama sisa plastik tetapi pola tumpuan tidak diketahui.

“Kajian kami diharap akan memberi sumbangan kepada perkembangan positif agar masalah plastik di lautan dapat ditangani dalam jangka masa panjang,” kata Schmidt.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Science & Technology itu menegaskan 10 buah sungai teratas dalam penyelidikan tersebut mengangkut 88 hingga 95 peratus sisa pencemaran global ke laut.

Sungai-sungai ini juga berada di negara-negara yang mempunyai tahap pengurusan sisa plastik tidak terurus yang tinggi kerana tidak melaksanakan sepenuh­nya pengurusan sisa perbandaran termasuk pengumpulan, pembuangan dan kitar semula.