Berdasarkan laporan dike­luar­kan dalam jurnal Nature Communications, peningkatan dua kali ganda pemanasan global dan ‘fenomena suhu melampau’ di permukaan air laut, akan mencetuskan ribut serta taufan.

“Fasa panas ini menjurus kepada perubahan iklim jangka masa panjang. Fasa seperti ini dijangka berterusan sekurang-kurangnya untuk lima tahun lagi,” kata penulis utama jurnal tersebut, Florian Sevellec yang juga merupakan saintis iklim di Universiti Brest di Perancis.

Sevellec dan pasukannya menangani masalah itu dengan cara yang berbeza.

Pertama, mereka memberi tum­puan kepada perubahan semula jadi suhu dunia dan kedua, menggunakan pendekatan statistik yang diperkemas daripada model iklim komprehensif untuk menjana ramalan jangka panjang.

“Kami membangunkan satu sistem ramalan antara waktu - atau jangka masa pendek - per­ubahan semula jadi dalam iklim.

“Untuk tempoh 2018-2022, kami mendapati anomali yang sama dengan kesan pemanasan global akibat perbuatan manusia,” kata Sevellec.

Selain itu, kemungkinan untuk gelombang panas marin atau ‘kejadian pemanasan’ laut lain dijangka meningkat sebanyak 150 peratus dalam tempoh lima tahun.

Kaedah terbaharu itu dikenali sebagai PRObabilistic foreCAST atau singkatannya PROCAST, diuji bagi membandingkan rekod suhu terdahulu dan terbukti le­bih berkesan serta tepat berban­ding model standard.

Ia juga boleh dijalankan de­ngan lebih pantas pada komputer riba, berbanding menggunakan komputer super yang memakan masa berminggu lamanya. – AFP