Dakwaan itu adalah melibatkan lagu-lagu daripada beberapa penyanyi terkemuka termasuk Tom Petty, Neil Young dan The Doors tanpa kebenaran penerbit muzik berkenaan.

Wixen merupakan pemegang lesen eksklusif lagu-lagu seperti Free Fallin oleh Tom Petty, Light My Fire daripada The Doors, Girl We Got a Good Thing nyanyian Weezer dan beberapa lagi hasil kerja penyanyi seperti Stevie Nicks yang mahu mendapatkan ganti rugi bernilai sekurang-kurangnya AS$1.6 bilion (RM6.44 bilion) termasuk injunksi berkaitan. Dalam tuntutan undang-undang yang difailkan di Mahkamah Persekutuan California, Wixen mendakwa Spotify gagal mendapatkan lesen langsung atau wajib daripada syarikat penerbitan muzik itu bagi menerbit semula atau mengedarkan lagu-lagu yang diterbitkan Wixen.

Wixen juga mendakwa Spotify telah menyumber keluar hasil-hasil kerja berkenaan kepada pihak ketiga iaitu penyedia perkhidmatan pelesenan dan royalti, Harry Fox Agency yang telah dikatakan gagal mendapatkan lesen tersebut.

Walau bagaimanapun, Spotify enggan mengulas mengenai laporan kes saman tersebut.

Mei lalu, syarikat yang berpangkalan di Stockholm, Sweden itu telah bersetuju untuk membayar lebih AS$43 juta (RM172.86 juta) bagi menyelesaikan tindakan undang-undang selepas mereka didakwa tidak membayar royalti ke atas beberapa lagu yang ditawarkan kepada pengguna.

Spotify yang merancang untuk menembusi pasaran penyenaraian awam tahun ini telah berkembang kira-kira 20 peratus kepada AS$19 bilion (RM76.38 bilion) pada berapa bulan lalu. – REUTERS