Seorang pengulas memberi­tahu, roket Falcon 9 turut dilancarkan sempena misi itu di suatu lokasi gelap di sekitar Cape Cana­veral dekat sini, malam semalam.

Sehingga kini, misi tersebut dianggap misteri kerana agensi yang terlibat dikatakan masih tidak didedahkan kepada umum.

Difahamkan, pelancaran itu sepatutnya dibuat November lalu, namun terpaksa ditangguhkan ekoran masalah teknikal.

Syarikat yang menghasilkan kapal angkasa terbabit, Northrup Grunman dalam pada itu memaklumkan, pelancaran roket ke orbit Bumi rendah itu dibiaya oleh kerajaan AS.

Northrup Grunman bagaima­na­pun menolak untuk mengulas lanjut mengenai perkara itu.

SpaceX dan Pentagon juga enggan memberikan maklum balas berhubung persoalan yang timbul susulan pelancaran misi ber­kenaan.

Sementara itu, pelancaran misi Zuma yang dibuat secara langsung menerusi laman sesawang SpaceX tidak menunjukkan ba­gai­mana roket tersebut dipisahkan daripada kapal angkasa pada peringkat pertama.

SpaceX bagaimanapun men­dak­wa, pelancaran itu berjaya dilakukan tanpa sebarang masalah.

Difahamkan, selepas pelanca­ran, SpaceX memulangkan bahagian atas roket Falcon 9 itu ke tempat pendaratan menegak di Cape Canaveral.

SpaceX sebelum ini terlibat de­ngan beberapa misi angkasa lepas khususnya untuk tujuan kese­la­matan termasuk pelancaran satelit risikan untuk Pejabat Pe­ninjau Kebangsaan serta pesawat angkasa, X-37B untuk pasukan tentera udara AS. – AFP