Skarf diberi nama ISHU itu direka Saif Siddiqui dan ramai selebriti Hollywood seperti Paris Hilton, Cameron Diaz dan Joe Jonas telah memilikinya selepas kain tersebut diperagakan semasa Minggu Fesyen London, tahun lalu.

Portal msn.com melaporkan Saif, 28, berkata, wajah pemakai skarf itu tidak akan kelihatan dalam gambar disebabkan pantulan cahaya yang dihasilkan setiap kali terkena pancaran kamera.

Jelasnya, idea menghasilkan kain halimunan itu diperoleh apabila seorang rakan mahu merakam gambarnya di hadapan deretan basikal semasa dia bercuti di Amsterdam pada 2009.

“Pelekat pemantul cahaya pada basikal itu menyebabkan wajah saya tidak kelihatan. Saya terfikir untuk menghasilkan skarf yang pasti menjadi rebutan selebriti terkemuka,” katanya.

Jelas pemuda itu, dia memanggil pakar yang mampu menggabungkan elemen fesyen dengan teknologi fabrik sehingga terhasilnya ISHU.

“Skarf ISHU membolehkan pemakainya berjalan dengan privasi walaupun gambar mereka dirakam. Gambar dan video mereka tidak akan tersebar lagi dengan mudah di Snapchat, Instagram atau Facebook,” ujarnya.

Buat masa ini, skarf ISHU boleh dibeli di internet pada harga 289 pound (RM1,531) sehelai.