Situasi itu didedahkan oleh Ketua Eksekutif Republik Islam Afghanistan, Abdullah Abdullah­ baru-baru ini.

Lapor al-Jazeera, kemudahan kesihatan di negara ini se­ring menjadi sasaran kumpulan bersenjata yang memburukkan lagi sistem kesihatan secara ke­seluruhannya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat 34 serangan disasarkan ke arah kemudahan kesihatan pada suku pertama tahun ini, menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan pekerja dan pesakit terkorban selain 87 kemudahan kesihatan terpaksa ditutup.

PERANG DAN KEMISKINAN

Empat dekad peperangan telah membawa kepada peningkatan kadar kemiskinan, yang jelas sekali memberi kesan kepada kesihatan.

“Jika seorang ibu tidak mempunyai wang untuk makan atau membeli ubat-ubatan, maka dia tidak boleh melahirkan seorang bayi sihat dan sekiranya bayi itu tidak sihat, ini memberi kesan kepada seluruh komuniti,” kata pakar obstetrik dan sakit puan, Najmusama Shefajo yang bertugas di hospital kerajaan dan klinik swasta di wilayah Kabul serta Helmand.

Menurut Najmusama, sepanjang berkhidmat sebagai doktor selama lapan tahun, dia hanya dapat melihat segelintir sahaja pesakit yang mempunyai akses kepada makanan sihat serta berkhasiat dan ubat-ubatan berkualiti.

Malah, kekurangan akses kepada makanan berkhasiat selain ubat-ubatan dari Pakistan serta Iran yang berkualiti rendah, palsu dan tamat tempoh menambahkan lagi beban tugas kakitangan kesihatan yang sememangnya dibayar dengan gaji kecil.

Bariz Ahmadi, yang telah berkhidmat di hospital kerajaan sejak tiga setengah tahun lepas berkata, majoriti doktor terpaksa menambah pendapatan mereka dengan bekerja lebih masa di klinik swasta.

“Pada satu-satu hari, terdapat sekurang-kurangnya 1,500 pesakit datang ke hospital awam dan 50 daripadanya akan dima­sukkan ke dalam wad semalaman. Namun gaji doktor masih belum cukup untuk menampung perbelanjaan asas mereka,” katanya.

Secara purata, gaji seorang doktor yang bekerja di hospital kerajaan adalah kira-kira AS$151 (RM632) hingga AS$189 (RM791) sebulan meskipun populasi penduduk di negara ini semakin menurun.

KEPERLUAN PERUBAHAN STRUKTUR

Pekerja kesihatan Afghanistan memaklumkan, perubahan struktur secara keseluruhan diperlukan dalam sektor ini.

“Seorang doktor Afghanistan dan seorang doktor asing belajar benda yang sama tetapi perbezaannya adalah peralatan yang mereka gunakan. Kami terpaksa melakukan prosedur rawatan yang paling sukar dengan hanya menggunakan peralatan asas,” jelas Najmusama.

Sementara itu, seorang doktor yang enggan dikenali berkata, beliau terpaksa me­ngumpul ubat-ubatan yang telah tamat tempoh memandangkan keba­nyakan pesakit tidak mampu membayar preskripsi mereka.

Jelasnya, meskipun beliau sedar tentang kesan buruk ubat-ubatan itu, namun beliau tidak mempunyai pilihan.

“Mereka memerlukan ubat-ubatan. Jadi saya memberitahu mereka supaya berhati-hati ketika mengambil ubat. Ini lebih baik daripada tiada apa-apa,” katanya.

Kekurangan dana, peralatan dan perang yang berterusan menyebabkan sektor kesihatan terus merosot ketika sekurang-kurangnya 1.9 juta orang memerlukan perkhidmatan perubatan kecemasan tahun ini.

Situasi ini menyebabkan pesakit yang mampu untuk ke luar negara, pergi ke Pakistan, India serta Turki bagi mendapatkan rawatan dan rakyat Afghanistan membelanjakan kira-kira AS$300 juta (RM1.3 bilion) setahun untuk mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.

PERKEMBANGAN TERKINI

Beberapa doktor yang ditemui al-Jazeera berkata, walaupun berlaku kemusnahan dan kekurangan sumber, pekerja kesihatan tetap melakukan yang terbaik di sebalik situasi buruk yang melanda.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Awam, Wahidullah Mayar berkata, di sebalik kesukaran, masih terdapat peningkatan dalam sektor kesihatan.

Pada 2003, Afghanistan mempunyai kadar kematian wanita mengandung tertinggi di dunia - 1,600 daripada setiap 100,000 wanita akan meninggal dunia ketika mengandung dan hari ini, angka berkenaan merosot kepada kurang daripada 300 orang.

Kadar kematian kanak-kanak turut kurang kepada lebih separuh, daripada 160 bagi setiap 1,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun sejak lima dekad lalu, kepada hampir 50 orang hari ini.

Wahidullah berkata, pe­ningkatan itu disebabkan oleh usaha kerajaan menangani masalah kesihatan negara, terutamanya empat tahun yang lalu.