Bank susu ibu yang dilancarkan oleh bekas Speaker Parlimen, Halimah Yacob semalam itu merupakan yang pertama diwujudkan di republik ini di bawah kerjasama Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dengan Temasek Foundation Cares.

Menurut portal berita Channel News Asia, yayasan tersebut memperuntukkan sebanyak S$1.37 juta (RM4.3 juta) untuk keperluan bank susu berkenaan yang akan berfungsi untuk me­ngumpul, memproses dan me­nyimpan kesemua susu ibu yang didermakan untuk kegunaan semasa.

KKH dan yayasan tersebut dalam satu kenyataan bersama memaklumkan bahawa pihaknya berharap dapat merekrut seramai 375 ibu untuk menderma susu ba­dan mereka.

Katanya, kesemua calon tersebut perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang ketat termasuk ujian HIV, hepatitis B dan C serta penyakit kelamin.

Program yang akan dilaksanakan untuk tempoh tiga tahun itu, dijangka memberi faedah kepada kira-kira 900 bayi yang menerima rawatan neonatal di KKH dan Hospital Universiti Singapura.

Kenyataan itu juga menyebut, terdapat kira-kira 350 bayi yang dilahirkan kurang berat badan menerima rawatan di semua hospital umum di republik ini.

Pengarah program tersebut, Dr. Chua Mei Chien berkata, kandungan lemak yang terdapat dalam susu ibu mampu mening­katkan pembentukan otak dan penglihatan bayi ke tahap yang lebih baik.

Menurut kumpulan pakar, susu ibu sangat penting untuk bayi pramatang ekoran mereka berisiko tinggi dijangkiti penya­kit berbahaya, selain golongan ibu memerlukan masa lama bagi menghasilkan susu yang mencukupi.

Pelancaran program itu me­nyaksikan Singapura menjadi antara 40 buah negara mempunyai bank susu ibu secara rasmi.