“Tiada apa-apa pun justifikasi bagi serangan seperti itu terhadap orang awam di kedua-dua masjid. Kami merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada mangsa dan keluarga dan berharap semoga mereka yang cedera segera pulih, “ kata jurucakap kementerian itu dalam satu kenyataan di sini.

Setakat ini, tiada warga Singapura cedera dalam insiden penembakan itu, kata MFA.

Menurut laporan media, insiden penembakan secara rambang itu telah mengorbankan 49 nyawa dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.

Sementara itu, Presiden Halimah Yacob dalam suratnya kepada Gabenor Jeneral New Zealand Dame Patsy Reddy, berkata beliau terkejut apabila mengetahui mengenai serangan tersebut.

“Bagi pihak rakyat Singapura, saya merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa, dan berharap semoga mereka yang cedera segera sembuh,” katanya.

Halimah berkata Singapura mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan yang sis-sia ini terhadap orang awam yang tidak bersalah di tempat ibadat, dan sekali lagi menegaskan semangat perpaduannya dengan New Zealand dalam usaha mengekang keganasan.

“Ingatan dan doa kami sentiasa bersama New Zealand dalam masa yang sukar ini,” kata Halimah.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong juga telah mengutus surat kepada rakan sejawatannya dari New Zealand Jacinda Ardern.

“Saya terkejut apabila mengetahui tentang insiden penembakan secara rambang di dua buah masjid di Christchurch pada 15 Mac 2019. Mangsa-mangsa yang tidak bersalah telah menjadi korban, dan ramai yang cedera,” kata beliau dalam surat itu.

Bagi pihak Kerajaan Singapura, Lee menyampaikan ucapan takziahnya yang mendalam kepada keluarga mangsa dan rakyat New Zealand.

“Singapura mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ini. Perbuatan kejam ini merupakan percubaan untuk menyebarkan ketakutan dan kebencian.

“Kita tidak boleh membenarkan perbuatan seperti ini menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat kita.

Singapura berdiri teguh dalam semangat perpaduan dengan New Zealand dalam usaha memerangi keganasan. Saya yakin bahawa di bawah kepimpinan anda, New Zealand akan kekal berdaya tahan dan bersatu pada masa yang sukar ini, “ kata Lee.

Kedua-dua surat itu dilampirkan kepada Bernama.- BERNAMA