Beliau berkata, Singapura dan Malaysia perlu menyelesaikan masalah-masah tertentu dan pada masa yang sama memelihara hubungan secara keseluruhan.

"Cara untuk melakukannya adalah menerusi kesaksamaan dan saling menghormati, menjunjung komitmen antarabangsa, dan rule of law," katanya dalam amanat sempena Tahun Baru 2019 hari ini.

Hsien Loong berkata, warga Singapura dari generasi lama pasti ingat bahawa 'inilah cara kita menangani isu-isu lain dalam hubungan dua hala sebelum ini'.

"Setiap kali kita menghadapinya, kita akan bersatu sebagai satu negara, dan menyuarakan pendirian kita dengan tenang, tapi tegas," katanya.

Perdana Menteri Singapura itu turut menyuarakan keyakinannya ‘kali ini juga rakyat Singapura akan bekerjasama rapat bagi memastikan hubungan dengan Malaysia stabil, dan generasi baru akan belajar bagaimana kita secara bersama melindungi kepentingan utama kini, semasa tinggal dalam suasana aman dan bersahabat dengan negara-negara jiran kita’.

Hsien Loong turut mengetengahkan beberapa isu yang timbul antara dua negara ‘kerana perkara itu akan muncul dari semasa ke semasa antara dua negara berjiran yang memiliki ikatan yang erat oleh faktor sejarah, ekonomi, kebudayaan dan persaudaraan’.



“Apabila Malaysia berhasrat menangguhkan projek kereta api berkelajuan tinggi, Singapura berikan kerjasama untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya.

Beliau mengakui bahawa pertikaian baharu berhubung sempadan maritim, dan berhubung ruang udara, terutama berkaitan peraturan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar, ‘adalah lebih rumit untuk diselesaikan’.

Beliau berkata, Malaysia juga berhasrat mengkaji semula harga air dari Johor, isu lama yang dibangkitkan semula baru-baru ini, di mana pendirian Singapura mengenainya cukup jelas. - BERNAMA