Menurut portal The Strait Times, satu ringkasan penerbit nota tersebut menerangkan tentang keistimewaan wang S$50 bertulis, ‘Reka bentuk hadapan (wang kertas) bercirikan Yusok Ishak, Presiden pertama kita’.

Jelas laporan tersebut, wang kertas S$50 dan S$10 tertera potret Yusof Ishak yang dilancarkan kepada orang awam sejak semalam, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kesilapan.

Susulan kesilapan memalukan itu, Pengarah Urusan MAS, Ravi Menon berkata, beliau bertanggungjawab sepenuhnya ekoran kesalahan ejaan nama Presiden pertama Singapura.

“Kesilapan ini tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh diterima. Saya bertanggungjawab sepenuhnya.

“Saya memohon maaf bagi pihak rakan-rakan yang berusaha keras untuk menyediakan nota tersebut, tetapi turut berasa kecewa dengan kesilapan yang tidak disengajakan ini,” kata beliau sambil menambah akan membetulkan kesalahan ejaan itu.

Seorang jurucakap MAS yang enggan dinamakan berkata, pihaknya sudah mencetak pelekat baharu untuk menggantikan bahagian ejaan yang salah dan proses pemulihan itu akan dilakukan bermula Selasa ini.

MAS mencetak sejumlah 20 juta keping wang kertas S$50 dan 75 juta keping duit S$10 selain 2.8 juta edisi khas untuk kedua-dua nilai wang tersebut yang mempunyai nota peringatan.

Setiap rakyat Singapura diberi keutamaan untuk menukar wang lama kepada wang baharu sehingga 30 September ini dan setiap orang hanya dibenarkan memiliki lima set wang baharu.