Menurut Kementerian Pengangkutan Singapura yang dipetik oleh The Straits Times di sini, dasar Singapura selama ini ialah menyeragamkan kadar tol dengan kadar yang dikenakan oleh Malaysia.

Untuk rekod, kadar tol bagi motosikal ialah S$0.40 (RM1.21) di Pusat Pemeriksaan Tuas bagi kedua-dua hala.

Malaysia memansuhkan kutipan tol sebanyak RM1.10 untuk motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang berhampiran Gelang Patah, Johor, bermula tengah malam tadi.

Langkah itu memberi manfaat jangka panjang kepada kira-kira 50,000 penduduk di sekitar Johor Bahru yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

Kerajaan Malaysia mengumumkan pemansuhan tol tersebut pada pembentangan Bajet 2019, seiring dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. - BERNAMA