Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen berkata, untuk pangkalan udara pintar, tentera udara akan menggunakan dron bagi mengakses landasan yang rosak selain analisis data untuk penyelenggaraan pesawat.

Katanya, tentera laut pula akan menggunakan bot tanpa pemandu bagi tujuan rondaan dan mengesan selain membersihkan periuk api bawah air.

“SAF menaik taraf peralatan sedia ada dengan seboleh mungkin untuk mengelak daripada melakukan pembelian baharu,” kata Ng Hen ucapan debat Jawatankuasa Perbekalan di Parlimen, semalam sebagaimana lapor Channel News Asia.

Ng Hen turut membangkitkan penambahbaikan yang dibuat terhadap perkakasan sedia ada se­perti kereta kebal Leopard dan helikopter Chinook.

Beliau menambah, tindakan SAF itu tidak menjejaskan keupayaan pertahanan negara ini tetapi sebaliknya menemui cara untuk mengoptimumkan sumber dan menggunakan sebaiknya setiap dolar duitnya,” tambahnya.

Ng Hen berkata, perbelanjaan pertahanan Singapura meningkat kurang daripada S$5 bilion (RM14.8 bilion) pada 1988 kepada kira-kira S$14 bilion (RM41.5 bi­lion) tahun lalu mewakili 19 peratus daripada perbelanjaan kerajaan.

Namun pemimpin itu me­negaskan, berlaku penurunan ke­tara bajet dalam pertahanan berbanding jumlah yang tinggi pada 2005 iaitu apabila ia mewaki­li satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

“Dengan SAF dimodenkan dan tumpuan diberikan kepada rakyat dan teknologi, perbelanjaan pertahanan menurun secara mendadak sejak sedekad lalu,” katanya.

Tambah beliau, untuk itu, SAF berjaya menjimatkan S$200 juta (RM592 juta) wang kerajaan menerusi inovasi dan proses kerja yang lebih baik.