Pengumuman Komisi Pemilihan Umum (KPU) yang memberikan kemenangan kepada Joko Widodo (Jokowi) bagi mengekalkan jawatan untuk penggal kedua sebagai Presiden Indonesia ternyata mengundang padah. Penyokong pencabarnya Prabowo Subiato tidak dapat menerima keputusan tersebut kerana sejak awal lagi bekas menantu Suharto itu menguar-uarkan bahawa beliau bakal Pre­siden Republik Indonesia Ke-8.

Jika mengkaji tindak tanduk Prabowo sejak bertanding jawatan nombor satu Indonesia itu, beliau yang pernah meme­gang jawatan Komandan Jene­ral Komando Pasukan Khusus Tentera Nasional Indonesia (TNI) sudah melakukan ‘pelbagai drama’ dan kenyataan seperti ‘me­nyalakan api di dalam sekam’.

Pada 17 April lalu, Prabowo mengejutkan dunia apabila mendakwa beliau dan gan­dingannya, Sandiaga Uno sudah mendapat 62 peratus undi berdasarkan kiraan dalaman. Bagi menunjukkan keyakinan, Prabowo melakukan sujud syu­kur. Gambar itu tersebar di seluruh dunia sedangkan pada hari sama, enam lembaga kaji selidik yang melaksanakan hitung cepat mengumpulkan data undi hampir 100 peratus me­nyaksikan calon Jokowi dan gandingannya, Ma’ruf Amin sedang mendahului.

Bagaimanapun keputusan itu ternyata tidak menyenangkan Prabowo yang menuduh mereka tidak boleh dipercayai dan sepatutnya berpindah ke Antartika supaya boleh menipu penguin.

Apabila KPU mula mengumumkan satu persatu keputusan yang terus menyebelahi Jokowi, pada 15 Mei, pasukan kempen Prabowo dan Sandiaga dengan tegas menolak kiraan undi oleh KPU. Mereka mendakwa pemilihan kali ini penuh dengan penipuan.

Walaupun mungkin benar apa yang didakwa oleh Prabowo dan pasukannya tetapi tindak tanduk mereka sejak awal lagi telah membangkitkan semangat dan menanam sentimen dalam fikiran penyokong mereka bahawa jika Prabowo-Sandiaga tewas ini bermakna, mereka ditipu.

Sepatutnya Prabowo dan pasukannya tidak berterusan memainkan sentimen yang boleh membangkitkan kemarahan rakyat. Mereka masih ada peluang untuk mengemukakan bantahan kepada Mahkamah Perlembagaan dan biarlah mahkamah menentukannya.

Menuduh pasukan Jokowi dan Ma’ruf menggunakan apa juga cara untuk menang, bukanlah tindakan yang bijak sebaliknya hanya mengundang petaka kepada Indonesia dan ia benar-benar berlaku pada 22 Mei lalu. Jakarta bermandi darah selepas 21 tahun - kali terakhir pada 1998 apabila Suharto - bapa mertua Prabowo dijatuhkan oleh rakyat melalui demonstrasi jalanan akibat isu ekonomi.

Selepas itu suasana politik Indonesia boleh dianggap tenang, B.J Habibie mengambil alih jawatan Presiden daripada Suharto yang dengan rela meletakkan jawatan, bagaimanapun Habibie gagal mendapat soko­ngan Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) dan tempat beliau diambil alih oleh Abdurrahman Wahid atau Gus Dur. Biarpun keha­diran Gus Dur banyak mencetuskan kontroversi melalui kenya­taan-kenyataannya tetapi tidak sampai meletakkan Indonesia di ambang pertumpahan darah. Gus Dur berundur dan digantikan oleh Megawati Sukarnoputri sebelum jawatan Presiden dipegang Susilo Bambang Yudhoyono.

Biarpun ada pemilihan Presi­den namun ia tidak berakhir de­ngan pertumpahan darah se­perti berlaku dalam pertembu­ngan Jokowi-Prabowo. Segala­nya ke­rana pemimpin terdahulu sudah berasa betapa peritnya untuk Indonesia bangkit semula apabila berlaku rusuhan seperti 1998. Calon-calon bertanding pula tidak seperti Prabowo atau pa­sukannya yang dilihat begitu kemaruk dan terlalu yakin mencapai kemena­ngan, biarpun baru beberapa jam peti undi ditutup.

Penulis bukanlah menolak kemungkinan berlaku penipuan atau kemungkinan Prabowo menang tetapi biarlah diserahkan kepada KPU untuk membuat pengumuman rasmi. Jika sejak awal lagi pasukan Prabowo tidak percaya kepada KPU, kenapa perlu Prabowo bertanding?

Sekarang Prabowo mencabar keputusan Pemilu di Mahkamah Perlembagaan, oleh itu mereka perlu berjiwa besar untuk me­nerima apa juga keputusan. Ja­ngan nanti jika keputusan tidak menyebelahi, kedengaran seruan supaya hakim juga perlu berpindah ke Antartika.

Hakikatnya, Indonesia sudah berada di landasan betul untuk­ bangkit sebagai kuasa besar Asia Tenggara. Dengan apa yang berlaku pada 1998 sehingga mengambil masa begitu lama untuk pulih, Indonesia tidak berupaya lagi berdepan dengan satu lagi pertumpahan darah.

Jika berlaku juga, Prabowo dan pasukannya perlu bersedia untuk bertanggungjawab.

Mungkin benar bukan penyokong Prabowo yang mencetuskan rusuhan tetapi di mana-mana juga negara ahli politik perlu mengelak memainkan sentimen rakyat ketika pilihan raya termasuk mengapi-apikan ko­nonnya ada penipuan.

Keadaan inilah yang akan memberi kesempatan kepada musuh untuk mengambil ke­sempatan bagi menghuru-harakan sebuah negara. Sebagai seorang bekas Pang­lima Komando yang mempunyai rekod cukup hebat, Prabowo sepatutnya menyedari bahaya ini.

Mungkin dalam bidang ketenteraan, kekalahan sama sekali tidak boleh diterima kerana melibatkan kedaulatan sesebuah negara tetapi dalam politik Prabowo perlu belajar menerima kekalahan kerana ia penentu keamanan sesebuah negara.