Menter-menteri negara Arab menerusi satu mesyuarat awal pada Khamis lalu memberi penekanan terhadap konflik di Syria dan Baitulmuqaddis yang masih belum selesai sehingga kini.

Bashar berkemungkinan didesak untuk meletak jawatan bagi menghentikan perang saudara yang sudah berlarutan selama tujuh tahun sejak 2011, selain menyaksikan ratusan ribu nyawa penduduk awam menjadi korban.

Selain itu, negara-negara Arab juga bakal mengambil tindakan untuk menyekat Amerika Syarikat (AS) daripada memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis selepas mengisytiharkan wilayah itu sebagai ibu negara Israel.

Sidang kemuncak tersebut bermula 24 jam selepas Syria di­serang oleh AS dan sekutunya berhubung dakwaan melancarkan serangan senjata kimia di pekan Douma pada minggu lalu.

Malah, negara ini dan Qatar semalam masing-masing melahirkan sokongan terhadap serangan tersebut.

Keadaan itu secara tidak langsung menunjukkan hubungan Riyadh dengan Teheran semakin tegang berhubung konflik perang di Syria, selain menyaksikan pemimpin negara itu tidak menyer­tai sidang kemuncak kali ini.

Sidang kemuncak tersebut yang dimulakan sejak 1945 dikatakan jarang mengambil sebarang tindakan yang boleh memberi kesan besar.

Namun, keadaan itu ber­ubah apabila sidang tersebut memutuskan untuk menggantung keahlian Syria pada 2011 selepas kerajaan pimpinan Bashar didakwa melancarkan perang di negara tersebut.

Sidang kemuncak tersebut bakal dipengerusikan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud. – AFP