Trump seakan-akan tidak se­haluan dengan pemimpin-pe­mim­pin negara maju yang lain dan perbezaan pendapat yang semakin ketara itu sudah dapat dilihat dengan jelas bermula dari sesi pertama sidang kemuncak pada Jumaat lalu.

Pemimpin AS itu membuat ke­jutan pada sesi perbincangan tersebut apabila menyeru agar penggantungan Rusia daripada blok berkenaan ditamatkan.

Rusia digantung daripada menyertai kumpulan ekonomi termaju dunia itu, selepas Moscow merampas rantau Crimea daripada Ukraine.

Tindakan tersebut mengundang kemarahan pemimpin-pe­mimpin G7 dengan Canselor Jerman, Angela Merkel menegaskan semua anggota EU yang menghadiri sidang kemuncak itu menentang idea tersebut.

Sidang kemuncak itu turut menjadi medan sekutu AS me­luah­kan rasa tidak puas hati de­ngan keputusan Trump me­ngenakan tarif ke atas import keluli dan aluminium ke atas EU, yang dikhuatiri mampu mencetuskan perang perdagangan glo­bal.

Kanada menyifatkan tarif yang diumumkan Trump itu tidak sah dan tidak adil sementara Presi­den Majlis Eropah, Donald Tusk memberi amaran bahawa pendirian Trump mengenai perdaga­ngan telah mengancam peraturan antarabangsa.

Perdana Menteri Britain, Theresa May turut lantang membantah tindakan Trump apabila meminta Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan sebagai tindak balas terhadap tarif tersebut.

Percanggahan pendapat an­tara Trump dan enam pe­mimpin lain itu turut melibatkan perubahan iklim, hubu­ngan dengan Iran dan konflik Israel-Palestin.

Bagaimanapun mungkin le­bih baik untuk dunia melihat sendiri perbezaan pendirian tersebut de­ngan jelas dan bukan memberikan harapan palsu terhadap perpaduan atau berpura-pura bahawa semuanya baik seperti yang ditegaskan Merkel di akhir sidang kemuncak itu.

Negara-negara lain pula masih percaya kesepakatan masih mampu dikecapi dan Trump sendiri masih mengharapkan kemajuan sekalipun beliau dilihat sudah semakin terasing dan dipulaukan.

Trump kelihatan tidak suka berunding dalam kumpulan itu, namun ramai masih percaya beliau mampu mencari kesepakatan ketika berdepan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Si­ngapura esok.