Jurucakap Lembaga Keselamatan Belanda, Fred Sanders hari ini menggambarkan sebagai satu keajaiban begitu ramai penumpang terselamat, malah sesetengahnya masih boleh berjalan meninggalkan pesawat berkenaan.

Pesawat 737-800 yang membawa 127 penumpang dan tujuh krew itu terhempas di sebuah padang berlumpur bersebelahan landasan ketika hendak mendarat di lapangan terbang tersebut pada pagi semalam.

Mangsa dan saksi menggambarkan pesawat itu terhempas seperti bata jatuh dari langit.

Saksi melaporkan mereka melihat ekor jet tersebut terkena sebatang jalan sibuk dalam kabus nipis dan terseret di darat sebelum pesawat putus tiga tidak jauh dari landasan.

Tiga daripada sembilan mangsa yang maut ialah anak kapal manakala di kalangan 86 yang cedera, enam dalam keadaan kritikal dan 25 lagi parah.

Satu faktor mengapa begitu ramai terselamat ialah pesawat itu tidak terbakar, jelas Sanders.

"Mungkin kerana pesawat itu terhempas di padang berlumpur dan bukan di jalan konkrit atau landasan di mana percikan api boleh mencetuskan kebakaran," katanya.

Sanders memberitahu wartawan, siasatan di tempat nahas akan mengambil masa beberapa hari dan selepas itu bangkai pesawat akan dibawa ke lokasi lain untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan rasmi dijangka diumumkan dalam tempoh setahun tetapi kami seharusnya dapat mengeluarkan hasil siasatan sementara dalam masa beberapa minggu," katanya. - AFP