Menurut laporan portal UPI, Meyers menegaskan perkara itu adalah sebagai ‘membalas dendam’ ekoran tindakan Trump melarang akhbar Washington Post daripada membuat sebarang liputan sepanjang kempennya ke White House.

“Kami memulakan ‘pengharaman’ ini, walaupun pada hakikatnya dia (Trump) tidak pernah berada di sini atau diminta untuk berada di sini. Ini adalah langkah berani kami,” katanya dalam rancangan yang disiarkan kelmarin.

Program bual bicara Late Night mendapat sambutan menggalakkan dan mendahului slot siaran pada pukul 12.35 tengah malam dengan purata melebihi sejuta penonton.

Meyers dan Trump sememang­nya mempunyai ‘sejarah konflik’ sebelum ini.

Semasa menjadi pengacara 2011 White House Correspondents Dinner, Meyers secara terbuka mengkritik Trump yang mempertikaikan tempat kelahiran Pre­siden Barack Obama.

Dalam program Late Night yang disiarkan Selasa lalu, Me­yers mengecam tindakan Trump mengharamkan Washington Post dan beberapa media lain daripada membuat liputan program-program kempennya.

“Menjelang pilihan raya, media yang hanya dibenarkan untuk membuat liputan dalam kempen Trump adalah National Enquirer (portal gosip) dan Rich Pricks Monthly,” katanya.

Namun, Trump menjawab kecaman itu melalui akaun Twitter miliknya dan berkata, dirinya tidak akan menyertai rancangan yang dihoskan Meyers walaupun diminta berbuat demikian.