Serangan udara yang dilancarkan pihak tentera itu menumpukan kumpulan militan Maute di bandar Marawi hari ini, namun dikatakan tersasar dan terkena kumpulan askar.

Susulan itu, jumlah kematian meningkat kepada 171 orang sejak operasi besar-besaran tentera Filipina membebaskan bandar berkenaan daripada penguasaan kumpulan militan Maute bermula minggu lalu.

“Sangat menyedihkan tertembak rakan kami sendiri. Sangat sedih tetapi kadangkala insiden seumpama ini berlaku semasa peperangan,” katanya.

Tambah Lorenzana, ramai anggota militan dipercayai sudah me­larikan diri, walaupun kepungan dan kawalan keselamatan telah diperketatkan di seluruh bandar itu.

“Kami mendapat laporan ada antara mereka telah melarikan diri ke pekan-pekan di sekitar bandar Marawi,” jelas beliau.

Menurutnya, kira-kira 50 hingga 100 orang militan dipercayai masih berada di Marawi.

Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan berulang kali memberi amaran bahawa penduduk yang terperangkap dan tahanan berada dalam bahaya sekiranya bedilan udara dilancarkan secara berterusan serta meminta tentera kerajaan berhenti melancarkan serangan.

“Kami terus merayu kepada pemerintah, jangan lakukan serangan udara,” kata ahli politik tempatan dan jurucakap kepada Jawatankuasa Pengurusan Krisis Wilayah, Zia Alonto Adiong.

Dalam perkembangan ber­kaitan, seorang kanak-kanak berusia dua tahun disenaraikan sebagai pemberi maklumat kepada kumpulan militan Maute sepanjang pertempuran tercetus.

Walau bagaimanapun, kanak-kanak terbabit bersama-sama 16 yang turut disenaraikan hadir ke Biro Siasatan Kebangsaan (NBI) semalam bagi membersihkan nama mereka dan membuktikan tidak terlibat secara langsung dengan mana-mana militan Maute.

Sementara itu, seorang blogger yang dilantik sebagai Pembantu Setiausaha Komunikasi Presiden, Mocha Uson membidas dakwaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang mengatakan ketua kumpulan militan Abu Sayyaf, Isnilon Totoni Hapilon adalah mahasiswa Pusat Pengajian Kejuruteraaan, Universiti Filipina.

Malah, pihak pentadbiran universiti terbabit turut mengesahkan Isnilon tidak pernah belajar di situ berdasarkan rekod penuntut yang dikeluarkan.

Tambahan pula, bekas rakan sekelas Isnilon di Sekolah Tinggi Kebangsaan Basilan, Tahira Ismael menafikan juga perkara tersebut.

“Itu tidak benar,” jelas Tahira.– AFP/AGENSI