Menurut laporan batampos.co.id, suspek yang berumur antara 19 hingga 46 tahun itu ditahan di pelbagai lokasi di Batam dan pihak polis turut menemukan sejumlah senjata dalam salah satu serbuan yang dilakukan di sebuah kompleks perumahan.

Suspek yang ditahan adalah seorang pekerja bank, Trio Syafrido, 46, dan lima pekerja kilang dikenali sebagai Gigih Rahmat Dewa, 31; Eka Saputra, 35; Tarmidzi, 21; Hadi Gusti Yanda, 20; dan M. Tegar Sucianto, 19.

Semua mereka adalah anggota kumpulan Katibah Nusantara yang merupakan rangkaian kumpulan militan Daesh di Asia Tenggara.

Komplot tersebut dirancang dengan bantuan militan Indonesia, Bahrun Naim yang kini berada di Syria.

Laporan itu yang memetik jurucakap polis kebangsaan, Boy Rafli Amar mengesahkan tentang rancangan keganasan tersebut, namun pihak polis belum dapat memastikan motif dan tarikh sebenar bila kumpulan itu mahu melancarkan serangan dengan roket kerana bahan bukti masih belum dijumpai.

Marina Bay Sands dan Pulau Batam dipisahkan oleh Selat Si­ngapura pada jarak kurang 30 kilometer.

Pihak berkuasa Indonesia juga tidak menyatakan jenis roket yang mungkin digunakan sama ada buatan sendiri atau dibekalkan pihak tertentu memandangkan masih tiada bukti ditemukan setakat ini.

Bagaimanapun, spekulasi mula timbul tentang keupayaan roket itu antaranya senjata tersebut jika dihasilkan sendiri, perlu me­lebihi keupayaan roket milik kumpulan pejuang Briged al-Qassam yang hanya mampu mencapai jarak 12 kilometer.

Jika dibangunkan sendiri, roket itu juga mungkin gagal menepati sasaran serangan kerana tidak dilengkapi sistem pelancaran dan panduan misil seperti roket-roket komersial.

Antara roket yang dipercayai boleh digunakan kumpulan militan itu dari Pulau Batam ke Si­ngapura adalah jenis Grad yang boleh mencapai jarak 20 kilome­ter dan WS-1E (45 kilometer).

Bagaimanapun, ancaman kumpulan militan itu masih perlu diberi perhatian memandangkan Gigih juga menerima bantuan kewangan daripada Bahrun Naim untuk melancarkan serangan.

Suspek kini sedang disiasat di ibu pejabat khas skuad meme­rangi keganasan, Densus 88 kerana terlibat dalam rangkaian keganasan kumpulan militan Daesh di Indonesia.