“Jumlah kematian terlalu tinggi, lebih 520 orang cedera dan lebih 100 lagi terbunuh,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan Yemen di Sanaan, Tamim al-Shami.

Serangan itu merupakan antara yang mengakibatkan kematian tertinggi oleh tentera perikatan dalam kempen memerangi pemberontak Houthi sejak Mac 2015.

Sekutu utama Riyadh, Wa­shington segera memberi amaran bahawa negara itu akan mengkaji semula sokongan me­reka ter­hadap pakatan tentera ber­kenaan.

Seorang penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Yemen, Jamie McGoldrick berkata, pekerja bantuan amat terkejut dan marah terhadap serangan ke atas sebuah dewan di Sanaa ketika orang ramai sedang berhimpun mengha­diri upacara pengebumian.

“Keganasan ke atas orang awam di Yemen perlu dihentikan serta merta,” kata McGoldrick.

Menurut laporan Al Jazeera yang memetik kenyataan saksi, empat serangan udara menyasarkan sebuah dewan semasa majlis pengebumian bapa kepada Menteri Dalam Negeri, Jalal al-Ru­weishan.

Nasib Jalal masih tidak diketahui, manakala Datuk Bandar Sa­naa, Abdul-Qader Hilal disahkan terbunuh.

Sementara itu, tentera pakatan diketuai Arab Saudi bersedia menyiasat insiden berkenaan, walaupun pada awalnya menafikan pembabitan tentera berkenaan dalam serangan itu.

“Perikatan akan menyiasat kes ini bersama Pasukan Penilaian Insiden Bersama di Yemen dan pakar dari Amerika yang terlibat dalam siasatan sebelum ini.

“Hasil siasatan akan diumumkan sejurus ia disiapkan,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan Saudi Press Agency. –AFP