BBC News melaporkan, sebahagian besar daripada mereka memuji serangan tersebut dan memberi pelbagai gelaran positif kepada Trump.

Antaranya termasuk memang­gil pemimpin itu dengan nama ‘Abu Ivanka’ atau bapa Ivanka dan ‘Abu Ivanka al-Amreeki’ (bapa Ivanka dari Amerika) serta menggunakan ‘hashtag’ #AmerikaIsOverParty dalam akaun Twitter masing-masing.

Beberapa pengguna juga me­ngubahsuai gambar Trump de­ngan meletakkan tarbus di atas kepalanya serta menulis status yang bermaksud, ‘‘Kami sayangkan anda’.

Selain itu, ada juga pengguna Twitter yang memuat naik status bertulis, ‘Lelaki yang berpegang kepada janji’ dan ‘Kamu melakukan sesuatu yang Presiden, Barack Obama tidak dapat lakukan dalam masa lapan tahun hanya dalam tempoh beberapa bulan sahaja’.

Kesemua ungkapan itu dipercayai merujuk kepada tindakan berani Trump untuk menyerang Syria atau lebih tepat, cuba menjatuhkan kepimpinan Presiden, Bashar al-Assad.

Bagi seorang warga Syria, tindakan berani Trump menyerang kubu al-Assad wajar diberikan penghargaan sewajarnya.

“Untuk pertama kalinya dalam tempoh enam tahun, rejim al-Assad menerima ‘hukuman’ di atas jenayah yang mereka lakukan,” kata seorang lagi rakyat Syria yang berada di London.

Dalam perkembangan ber­kaitan, wartawan Syria, Rami Jarrah pula memberitahu: “Rak­yat Syria sebenarnya bukan gembira kerana tindakan individu yang menyedihkan seperti Trump.

“Sebaliknya, mereka gembira kerana Assad tidak lagi boleh membunuh mereka dengan sesuka hati.”

Seorang lagi pengguna Twitter pula membidas kenyataan mereka yang menyokong Trump apabila menulis: “ Jadi, anda sukakan Trump sekarang? Di manakah individu yang selama ini membantah pelantikan Trump kerana pemimpin itu membenci orang Arab dan Islam?”