Menurut Jabatan Negara AS, peraturan terbaharu itu bertujuan membantu pihak berkuasa negara ini menapis permohonan visa dan menentukan sama ada pemohon boleh menimbulkan ancaman keganasan.

Negara-negara yang gagal untuk mematuhi protokol itu atau tidak mengambil langkah sewajarnya dalam tempoh 50 hari bakal berdepan dengan sekatan perjalanan, lapor Reuters.

Maklumat tentang protokol berkenaan telah dihantar kepada semua kedutaan AS kelmarin dan merupakan ringkasan daripada prosedur penapisan seluruh dunia di bawah perintah eksekutif Presiden Donald Trump yang melarang perjalanan sementara ke negara ini terhadap enam buah negara Islam.

Ia juga menghuraikan satu pia­waian tentang apa yang AS perlukan dari negara-negara tersebut termasuk pasport elektronik dan laporan pasport yang dicuri dan hilang kepada Interpol.

Semua negara juga diarah menyertakan ‘maklumat identiti lain’ yang dikehendaki Washington untuk pemohon visa AS termasuk maklumat terperinci biografik dan biometrik.

Syarat lain termasuklah negara terbabit menyertakan data individu yang dipercayai mempunyai alasan untuk menjadi seorang pengganas termasuk maklumat rekod jenayah.

Semua negara diminta tidak menyekat sebarang pemindahan maklumat kepada kerajaan AS tentang individu yang akan mengunjungi negara ini dan tidak meletakkan mereka dalam senarai pengawasan hanya berdasarkan kepercayaan agama dan politik.

“Ini merupakan kali pertama kerajaan AS mewujudkan piawai­an bagi maklumat yang mengkehendaki semua negara khusus menyokong penapisan imigresen dan perjalanan,’’ menurut pengumuman tersebut.

Peraturan itu juga adalah yang terbaharu dalam siri tindakan pentadbiran Trump yang bertujuan meningkatkan perlindungan terhadap AS daripada serangan pengganas.

Walau bagaimanapun, bekas pegawai kanan Jabatan Ke­selamatan Negara, John Sandweg berkata, kebanyakan maklumat yang dikehendaki itu adalah perkara rutin yang dikongsi antara negara termasuk contoh pasport dan maklumat tambahan tentang individu yang mungkin menimbulkan ancaman keselamatan. – Reuters