Lapor Mail Online, peluru berpandu tersebut telah diuji semasa latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Jurucakap Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in yang tidak didedahkan identitinya berkata, misil berkenaan akan menjadi komponen penting untuk mengatasi serangan Korea Utara.

Dalam ujian terbaharu yang dijalankan itu, peluru berpandu tersebut menembusi kubu bawah tanah dan meletup.

Sementara itu, Tentera Udara AS berjaya melancarkan pe­luru berpandu balistik antara benua (ICBM), Minuteman III dari Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California tengah malam semalam.

Para pegawai ketenteraan berkata, pelancaran peluru berpandu itu sudah lama dirancang dan bukannya sebagai tindak balas kepada program nuklear Korea Utara.

Dalam perkembangan lain, Men­teri Luar China, Wang Yi menggesa semua pihak supaya tidak meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea, dan China mengutuk secara jelas ujian peluru berpandu terbaharu Korea Utara.

“Berkenaan pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara baru-baru ini, mereka sekali lagi me­langgar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan China sudah membidas tindakan tersebut.

“Pada masa yang sama, kami juga menyeru kepada semua pihak supaya tidak mengambil tindakan yang akan membawa kepada ketegangan,” katanya da­lam sidang akhbar di Beijing.

Tambah beliau, China berharap semua pihak dapat bekerjasama menerusi rundingan untuk mencari penyelesaian bagi menangani kebimbangan keselamatan ma­sing-masing. – AGENSI