Lelaki berusia 44 tahun dari Pulau Pinang itu ditahan pada pukul 7 malam (waktu tempatan) selepas pihak berkuasa Thailand menjalankan pengawasan terhadapnya berhubung peranan suspek yang dua kali gagal untuk menyeludup dadah ke Malaysia awal tahun ini dan akhir hujung tahun lepas.

“Lelaki Malaysia itu tiba di Bangkok kira-kira dua minggu lepas dan sentiasa dalam pengawasan polis sejak itu,” kata Timbalan Ketua Biro Penindasan Narkotik (NSB) Thailand Mejar Jen Pornchai Charoenwong di lapangan terbang semalam.

Menurutnya, lelaki itu dipercayai anggota utama di sebalik penemuan 87kg ice di sebuah rumah sewa di Hatyai Januari lepas serta rampasan 52.4kg heroin dan 41.9kg ice dari sebuah kereta yang dipandu dua lelaki warga Malaysia di Chumphon, bulan Disember lalu.

Pornchai berkata, semasa soal siasat, kedua-dua lelaki rakyat Malaysia yang ditahan hujung tahun lepas itu telah men-dedahkan kepada pihak berkuasa Thai, mengenai pembabitan lelaki Pulau Pinang itu dalam kedua-dua kes penyeludupan dadah tersebut.

“Suspek banyak kali datang ke Thailand sebelum ini untuk menempah bekalan dadah. Sebaik urusan selesai, dia akan pulang ke Malaysia dan menunggu bekalan dihantar,” katanya dan me­nambah pihak polis masih meneruskan siasatan mengenai lelaki itu dan sindiketnya. – BERNAMA