Portal SunStar yang memetik kenyataan jurucakap tentera Fi­lipina, Brigedier Jeneral Restituto Padilla sebagai berkata, mayat-mayat tersebut termasuk empat lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.

Menurut beliau, lapan lagi mayat ditemukan dengan kesan tembakan di lokasi lain dan ‘dibuang’ di tepi parit dekat Kampung Emi kira-kira pukul 6 pagi ini waktu tempatan.

“Pada badan salah satu mayat ada diletakkan nota bertulis ‘Munafik’,” katanya.

Padilla berkata, setakat ini 61 militan terbunuh selain 11 anggota tentera dan empat orang polis dengan jumlah keseluruhan ang­ka korban meningkat kepada 92 orang.

Terdahulu, seorang jurugambar agensi berita AFP yang enggan dikenali berkata, dia melihat lapan mayat penduduk awam terbaring di sebatang jalan di pinggir bandar Marawi.

Semua mayat lelaki tersebut, kebanyakannya ditembak di ke­pa­la malah ada sesetengah­nya, tangan mereka diikat oleh anggota kumpulan militan.

Pegawai Polis Marawi, Jamail C. Mangadang berkata, lapan lelaki tersebut merupakan tukang kayu yang terlibat dalam konvoi pemindahan sebelum ditahan oleh kumpulan militan lewat semalam.

Berdasarkan maklumat saksi, ujar Mangadang, kesemua mereka ditarik daripada trak konvoi tersebut kerana tidak boleh membaca ayat al-Quran.

“Kami mendengar bunyi tembakan, walaupun saya tidak pasti jika itu adalah orang yang sama ditembak,” kata Mangadang.

Sementara itu, sembilan butir peluru ditemukan di kawasan kejadian tembakan tersebut.

Dalam perkembangan sama, rakaman pengawasan yang dilakukan menerusi dron tentera menunjukkan penduduk terpaksa melarikan diri dan ada juga me­ngibarkan bendera putih bagi membezakan mereka de­ngan ku­m­­pulan militan.

Seorang ahli politik tempatan yang menjalankan u­saha memindahkan penduduk dari Marawi, Zia Alonto Adiong berkata, pihaknya mengkritik tentera kerana menjalankan serangan udara sekali gus membataskan usaha pemindahan.

“Sesetengah penduduk tidak mempunyai makanan. Ada daripada mereka berada dalam kea­daan takut. Ini adalah konflik yang melampaui batasan. Tahap kerosakan dan mereka yang terjejas adalah besar,” ujar Adiong.

Salah seorang penduduk di Marawi, Aminola Mitmug berkata, masyarakat Islam sedang menjalankan solat Subuh berjemaah ketika bom melanda kampung berdekatan.

“Pada hari pertama Ramadan, masalah utama kami ialah kekurangan air dan bekalan elek­trik. Tapi kami perlu berkorban. Sebagai seorang Islam, kami me­nerima segala dugaan dengan sabar dan tidak me­nyalahkan sesiapa berkaitan situasi hari ini. Allah­ melihat bagaimana kamu menghadapi ujian ini,” katanya.

Selain itu, seorang lagi penduduk, Junaina Sharief menyifatkan Ramadan kali ini adalah yang paling menyedihkan buat dirinya.

“Sebelum pertempuran berlaku, semua orang bersiap sedia untuk menjalani ibadah puasa. Kami membersihkan rumah, membeli barang ke­perluan dan me­nyiapkan segalanya seperti tahun-tahun sebelum ini,” jelasnya.

Namun menurutnya, ekoran insiden tersebut dan pengisytiharan pemerintahan tentera, ramai keluarga dipaksa meninggalkan kediaman dan mencari perlindungan di kawasan pe­nempatan sementara di wilayah berdekatan. – AFP/AGENSI