Portal ABC memetik kenyataan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Rangkaian Hak Asasi Manusia Burma (BHRN) yang me­nyatakan beberapa buah kampung di utara Rakhine telah terputus bekalan makanan.

“Salah satu sebab mereka me­larikan diri adalah makanan, bekalan makanan tidak ada lagi,” kata Pengarah Eksekutif BHRN, Kyaw Win.

Lebih daripada setengah juta penduduk etnik Rohingya telah melarikan ke sempadan dan ribuan daripada mereka tiba setiap hari di Bangladesh.

“Ramai melarikan diri daripada kampung kerana kebuluran. Sebelum ini kami menerima bantuan makanan daripada Program Makanan Sedunia (WFP), tetapi kini tiada siapa mahu menolong,” ujar seorang penduduk kampung Thayet Kin Manu di Buthidaung yang tidak mahu dikenali.

Tambah BHRN, beberapa kampung menerima bantuan daripada tentera Myanmar tetapi hanya bertahan selama beberapa hari.

“Ini adalah satu strategi teran­cang oleh kerajaan Myanmar yang cuba menunjukkan bahawa mereka telah menyumbangkan makanan kepada Rohingya.

“Mereka kemudiannya menye­kat bantuan berkenaan dan meng­halang agensi-agensi luar daripada menghulurkan bekalan makanan,” jelas Kyaw Win lagi.

Dalam perkembangan sama, WFP berkata, mereka tidak dapat menyalurkan bantuan kepada 110,00 orang yang terjejas di utara Rakhine.

“Aktiviti bantuan WFP telah tergendala...cabaran utama adalah akses kemanu­siaan,” kata pegawai komunikasi WFP, Silke Buhr.