Pemimpin Parti Demokrat, Charles Schumer memberi amaran tindakan memusnahkan rakaman tersebut adalah melanggar undang-undang.

Senator dari Parti Republikan, Lindsey Graham pula menegaskan, White House perlu ‘membersihkan’ keadaan berhubung kewujudan sebarang pita rakaman.

Gesaan itu dibuat selepas Trump memuat naik status dalam Twitter minggu lalu yang seolah-olah mengancam Comey dengan memberi amaran supaya beliau tidak bercakap kepada pihak media dan ‘berharap tiada pita rakaman’ tentang perbualan mereka.

Walau bagaimanapun White House tidak memberi sebarang ulasan, sama ada mengesah atau menafikan kewujudan sebarang pita rakaman terbabit.

Schumer turut memberi amaran iaitu anggota Senat Demokrat mungkin tidak akan mengundi pelantikan pengarah baharu FBI sehingga pendakwa raya khas dilantik untuk menyiasat kes campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden AS.

FBI sedang menyiasat tuduhan dan kemungkinan hubungan antara Moscow dan kumpulan kempen Trump namun presiden menafikan wujud sebarang hubungan antara kedua-dua pihak.

Malah kata Trump, Comey te­lah memberi jaminan iaitu beliau tidak disiasat selain menegaskan pemecatan bekas pengarah FBI itu dibuat kerana gagal melakukan tugas dengan baik.

Namun begitu Parti Demokrat menuduh Trump memecat Comey kerana cuba menghalang siasatan FBI.

Schumer memberitahu CNN, jika wujud sebarang pita rakaman maka ‘presiden perlu serta-merta menyerahkannya dan tindakan memusnahkan pita itu adalah me­langgar undang-undang’.

“Jika terdapat sebarang pita rakaman, beliau (Trump) perlu meminta maaf kepada Comey dan rakyat AS kerana mengelirukan mereka,” tegas beliau yang dilaporkan BBC.

Graham pula memberitahu NBC, status Trump dalam Twitter adalah ‘tidak wajar’ dan menggesa pre­siden itu ‘tidak campur ta­ngan, sebaliknya membiarkan pihak terbabit meneruskan siasatan’.

“Kamu tidak boleh main-main tentang pita rakaman ini. Jika ada sebarang pita tentang perbualan terbabit, mereka perlu menyerahkannya kepada pihak berkuasa,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Trump berkata, pengumuman tentang pengganti Comey akan dibuat minggu ini.

Seramai 11 calon telah dipertimbangkan untuk mengisi jawatan itu yang memerlukan pengesahan Senat manakala temuduga jawatan berkenaan telah bermula pada Sabtu lalu.

Mereka yang dipertimbangkan termasuk Pemangku Pengarah FBI, Andrew McCabe; Hakim Mahkamah Rayuan New York, Michale Garcia; Senator Republikan, John Cornyn dan peguam kanan, Alice Fisher.