Kemampuan farmaseutikal luar biasa semut itu ditemukan ketika keberkesanan antibiotik yang dihasilkan oleh manusia semakin berkurangan dalam tempoh 100 tahun lalu ekoran kekebalan kuman semakin me­ningkat.

Sebuah pasukan dalam laporannya dalam jurnal Royal Society Open Science menyatakan, kajian menggunakan 20 spesies semut menemukan bahan antimikrob pada 12 spesies terbabit.

“Ini bermakna semut mungkin menjadi pilihan yang baik jika anda ingin mencari bahan antimikrob baharu,” kata penulis bersama bagi kajian itu, Clint Penick dari Universiti Arizona.

Menurut Penick, semut menghasilkan sebatian antimikrob da­lam kelenjar khas yang dirujuk sebagai ‘kilang kimia’.

“Semut menyalut badannya de­ngan rembesan dari kelenjar khas berkenaan dan sesetengah jenis semut menyebarkan bahan antimikrob di sekitar sarang mereka, sama seperti manusia menggunakan pembersih antiseptik di rumah mereka,” kata Penick.

Pasukan itu menguji bahan kimia yang dihasilkan semut ke atas bakteria tidak berbahaya yang biasa ditemukan pada kulit manusia iaitu Staphylococcus epidermidis.

Menurut penyelidik, bahan antimikrob daripada spesies semut berlainan memberi kesan membunuh kuman yang berbeza.

Bahan kimia berkenaan masih belum diuji ke atas bakteria yang mampu mengakibatkan penyakit pada manusia.

“Kita perlu tahu bahawa terdapat lebih 15,000 spesies semut dan setiap spesies itu mungkin menghasilkan banyak sebatian bahan kimia berbeza yang mungkin mempunyai tindakan antimikrob.

“Oleh itu kami mengambil langkah pertama untuk mengenal pasti jenis semut yang mempu­nyai potensi tertinggi menghasilkan antibiotik yang berkesan terhadap penyakit manusia. Namun, masih banyak usaha perlu dibuat bagi mengenal pasti bahan kimia yang berfungsi sebagai antibiotik dan bagaimana untuk menghasilkannya,” jelas Penick. – AFP