Namun, pakar perubatan, Thongchai Lertwilairatta­na­pong mengesahkan kumpulan remaja tersebut berada dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan tanda-tanda stres atau kecede­raan lain.

“Hasil pemeriksaan mendapati 12 remaja tersebut beserta jurulatih mereka dalam keadaan baik dan tidak tertekan biarpun mereka terperangkap dalam gua selama 17 hari tanpa keperluan asas yang mencukupi.

“Secara purata, mereka hilang berat badan sekurang-kurangnya dua kilogram,” katanya kepada media.

Ibu bapa empat remaja pertama yang dibawa keluar dari gua tersebut dibenarkan untuk bertemu dengan anak mereka namun perlu memakai baju perlindungan dan berdiri dalam jarak dua meter sebagai langkah berjaga-jaga.

Thongchai turut memaklumkan bahawa seorang daripada kumpulan mangsa terakhir yang dibawa keluar semalam menghidap jangkitan paru-paru dan remaja yang lain juga diberi suntikan vaksin seperti tetanus dan rabies.

Dalam pada itu, kejayaan pasukan penyelamat membawa keluar semua mangsa yang terperangkap dalam gua tersebut mendapat pujian serta sambutan positif daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin dunia.

Seorang daripadanya adalah pemain bola sepak pasukan England, Kyle Walker yang berhasrat untuk memberi jersi pasukan tersebut kepada kumpulan remaja berkenaan.

“Berita mereka semua berjaya dibawa keluar dari gua tersebut merupakan perkara paling hebat,” tulisnya dalam Twitter.

Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull turut memuji tindakan efisyen pasukan penyelamat serta sikap penduduk tempatan yang tidak jemu memberi sokongan serta pertolongan sepanjang operasi mencari serta menyelamat diadakan.

Selain itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah atas kejayaan menyelamatkan kumpulan remaja itu beserta jurulatihnya.

Ketua misi menyelamat, Na­rongsak Osottanakorn juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan penyelam dari luar dan ratusan anggota penyelamat. – REUTERS