Gambar yang paling mendapat perhatian daripada sidang kemuncak antara dua pemimpin itu adalah aksi mereka tersenyum sambil berpimpin tangan ketika menyeberangi sempadan yang memisahkan Semenanjung Korea.

Kegembiraan yang terlihat di wajah mereka seakan-akan menghantar mesej positif tentang usaha untuk memulihkan keamanan di rantau itu selepas hampir tujuh dekad dibelenggu ketegangan dan provokasi berterusan.

Sebaik sahaja melangkah ke sempadan sambil dipimpin Jae-in, Jong-un menjadi Pemimpin Korea Utara pertama menjejakkan kaki ke Korea Selatan.

Jae-in kemudian menerima pelawaan Jong-un untuk berjalan bersamanya ke garisan sempadan Korea Utara berhampiran yang dilaporkan tidak termasuk dalam jadual aktiviti mereka.

Dalam dunia diplomasi antarabangsa, detik itu dianggap sebagai momen spontan paling jarang berlaku apabila keakraban mula berkembang antara dua pemim­pin yang saling bertelagah itu.

Kedua-dua pemimpin itu juga seakan-akan memberitahu dunia bahawa mereka, sebagai warga Korea, bebas untuk bergerak ke tanah mereka dan jika mereka memilih untuk bekerjasama, me­reka pasti dapat mengatasi ha­langan politik yang dibina itu.

Hari tersebut juga dilaporkan berjalan dengan lancar, dengan kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat, memenuhi akti­viti petang dengan menanam pohon simbolik dan makan malam bersama diiringi isteri masing-masing.

Pada akhir pertemuan kedua-dua pemimpin itu mengeluarkan kenya­taan dengan objektif besar untuk me­ngekalkan semangat kerjasama yang dilihat sejak temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pye­ongchang.

Kedua-dua pihak juga berikrar untuk meringankan ketegangan ketenteraan yang melanda Semenanjung Korea selama beberapa dekad, membuka barisan komunikasi baharu dalam kerajaan dan ketenteraan selain berusaha menuju pengurangan senjata.

Dengan semua senyuman dan gambar menarik keakraban yang dirakam lensa kamera, sidang kemuncak itu tidak akan bermakna jika ia tidak melakukan sesuatu untuk membawa dunia lebih dekat kepada penyelesaian sebenar pelucutan senjata nuklear Korea Utara.

Kenyataan sidang kemuncak itu mengandungi fasal di mana kedua-dua pihak berjanji untuk bekerjasama mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas nuklear.

Bagaimanapun kenyataan itu tidak mempunyai satu ayat penyata yang jelas untuk menerangkan mengenai persetujuan Korea Utara me­nghapuskan keseluruhan senjata nuklearnya dan kenyataan itu hanya menjanjikan usaha, bukan pennyelesaian yang mutlak.

Usaha melaksanakan syarat perjanjian tersebut juga mungkin memerlukan perbincangan mengenai status tentera Amerika Syarikat (AS) dan senjata pertahanannnya di Korea Selatan yang langsung tidak disebut oleh kedua-dua pemimpin itu.

Tidak harus dilupakan bahawa be­berapa bulan lalu kedua-dua ne­gara berkenaan di ambang pe­perangan dan kedua-dua pemimpin berhak mendapat penghargaan ke­rana mencipta isyarat damai itu.

Tetapi cabaran yang lebih besar menanti di hadapan kerana usaha mengubah pendirian tegas Korea Utara bukan sesuatu yang boleh dilakukan dengan begitu mudah.

Pertemuan itu mungkin dilihat mampu menjadi permulaan persahabatan yang panjang dan produktif demi menyatukan kembali Semenanjung Korea.

Atau ia mungkin hanya sekadar janji manis untuk meredakan ketegangan dan mengelak sebarang konfrantasi rakyat di rantau itu menjelang pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump tidak lama lagi.