Pe­sawat C-130 Hercules milik Pe­ngawal Udara Kebangsaan Puerto Rico itu terhempas kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan berhampiran lapangan terbang Sa­vannah.

Siaran video menunjukkan pesawat berkenaan menjunam dan meletup.

Pihak berkuasa sebelum ini me­maklumkan seramai lima anak kapal terkorban, namun menukar maklumat selepas mengenal pasti sebanyak empat penum­pang turut maut dalam kejadian tersebut.

Jurucakap Pengawal Udara Kebangsaan Puerto Rico, Mejar Paul Dahlen mengesahkan kejadian ter­sebut dan memaklumkan empat penumpang yang terkorban itu juga merupakan anggota tentera.

“Pesawat itu mungkin berusia lebih 50 tahun dan dalam perjalanan ke Pangkalan Udara Davis Monthan di Tucson, Arizona. Pesawat tersebut berada di Georgia untuk proses penyelenggaraan dan dijangka berada dalam keada­an baik,” katanya.

Beberapa imej yang dikongsi dalam Twitter turut menujukkan serpihan bangkai pesawat berta­buran dan terbakar.

Presiden AS, Donald Trump menerusi Twitternya memberi­tahu bahawa beliau sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa.

Angkatan tentera AS berdepan dengan beberapa siri kemalangan melibatkan penerbangan dalam beberapa minggu ini termasuk kejadian jet F-16 terhempas berhampiran Las Vegas pada bulan lalu, menyaksikan juruterbang­nya maut.

Sehari sebelum kejadian itu, empat anak kapal terbunuh apabila helikopter Marine Corps terhempas ketika melakukan rutin latihan di California Selatan. – AFP