Dalam serangan terbaharu itu, sekurang-kurangnya dua orang maut dalam insiden berasingan membabitkan serangan bom dan tembakan awal hari ini.

Menurut laporan portal Bangkok Post, kejadian pertama berlaku di Yala apabila seorang askar maut dan seorang lagi cedera dalam serangan bom tepi jalan di daerah Krong Pinang, kira-kira pukul 7 pagi ini ketika tujuh askar dikerah melindungi kumpulan guru ke sekolah.

Letupan bom itu turut meninggalkan kesan lubang sedalam 1.5 meter dan selebar satu meter selain siasatan pasukan pemusnah bom mendapati bahan letupan yang digunakan dipercayai seberat lima kilogram.

Pihak polis percaya serangan itu didalangi oleh penyokong anggota kumpulan pemisah yang masih beroperasi secara aktif di kawasan terbabit.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki maut ditembak dalam serangan hendap ketika mangsa sedang menunggang motosikal di daerah Yaring, wilayah Pattani kira-kira pukul 8.30 pagi waktu tempatan.

Mangsa ditembak di bahagian kepala, tetapi pihak berkuasa masih menyiasat sama ada kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan serangan puak pemisah atau konflik peribadi.

Sebuah sekolah dua tingkat di daerah Nong Chik di wilayah sama turut dibakar menyebabkan kemusnahan bahagian perpustakaan di tingkat satu dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan pihak berkuasa menemukan lima tayar yang dipercayai digunakan untuk memulakan kebakaran.

Sementara itu di Narathiwat, satu letupan berlaku di Jalan Phetkasem di Kampung Luboh Sawor, daerah Bacho, kira-kira pukul 6.50 pagi ini, dipercayai disasarkan terhadap sekumpulan 12 orang tentera yang berkawal di lokasi berhampiran.

Namun, tiada kecederaan dilapor dalam kejadian tersebut.

Semua insiden tersebut dikaitkan dengan tindakan balas dendam terhadap tentera kerajaan yang melancarkan serbuan di pangkalan kumpulan pemisah di Pattani, kelmarin.

Dalam operasi berkenaan, seorang suspek ditahan bersama sejumlah besar bahan yang digunakan untuk membuat bom.