Antara persoalan yang paling menjadi perhatian termasuk ada­kah etnik minoriti itu benar-benar selamat serta tidak lagi akan ditindas selepas mereka kembali ke kampung masing-masing dan adakah Myanmar dapat mengotakan janji mereka untuk membantu Rohingya mendapatkan hak yang sewajarnya?

Kebimbangan mengenai nasib malang Rohingya yang dikhuatiri akan berulang secara jelas mendapat perhatian pelbagai pihak terutamanya badan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pengarah bagi hak pelarian di bawah Human Rights Watch (HRW), Bill Frelick baru-baru ini menggesa supaya agensi antarabangsa dibenarkan untuk memantau proses penghantaran pulang ratusan ribu penduduk Rohingya dari Bangladesh ke kampung halaman mereka di Myanmar.

Hal ini kerana mereka bimbang jika Myanmar sebenarnya tidak iklhas untuk menerima kepulangan Rohingya dan mungkin hanya berpura-pura mela­ku­kan semua itu kerana ingin melenyapkan desakan dunia supaya menghentikan segala bentuk penindasan terhadap etnik minoriti berkenaan.

Selain itu, kesungguhan untuk menghantar pulang kesemua etnik itu ke Rakhine hanya dapat dilihat pada pihak Bangladesh dan bukannya Maynmar yang disifatkan sebenarnya ti­dak bersedia untuk menyambut kepulangan penduduk Rohingya.

Sejak 25 Ogos lalu, ratusan ribu penduduk Rohingya mela­rikan diri dari Rakhine dan memasuki Bangladesh untuk mendapatkan perlindungan selepas tentera Myanmar bertindak membakar perkampungan serta membunuh ratusan etnik itu tanpa sebab yang logik pada akal.

Sejak itu, Bangladesh terpaksa menanggung kos keper­luan yang amat besar bagi memastikan etnik tersebut sekurang-kurangnya dapat tempat berlindung dan bebas daripada keganasan.

Selepas rundingan penghantaran sudah dipersetujui, mungkin Bangladesh boleh menarik nafas lega dan juga mungkin berharap semua penduduk Rohingya yang pernah menghuni kem pelarian di negara itu tidak akan kembali semula sebagai mangsa penindasan pihak tidak bertanggungjawab.

Persoalan seterusnya, di se­balik semua rundingan dan perbincangan yang dilakukan bagi membolehkan Rohingya pulang semula ke kampung mereka, namun adakah etnik tersebut sudah bersedia untuk kembali kepada rutin asal dan menjalani kehidupan dengan lebih sejahtera?

Rasanya tidak keterlaluan untuk menulis bahawa pasti ada antara pelarian Rohingya yang berharap mereka tidak dilahirkan sebagai etnik tersebut kerana trauma dengan apa yang sudah berlaku.

Apakan tidak, melihat anak, suami, isteri, ibu bapa dan keluarga terdekat dibakar hidup-hidup, dipukul ditembak dan dirogol tentera Myanmar pasti tidak akan dilupakan dan tersemat kemas dalam memori mereka yang merasainya.

Perkara lain yang perlu dilihat adalah mengenai kriteria penghantaran etnik Rohingya yang sehingga kini masih belum didedahkan dan pastinya diharapkan tidak mengandungi syarat-syarat yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hati kepada pelbagai pihak.

Dalam pada itu, timbul juga persoalan tentang pemimpin Myanmar iaitu Aung San Suu Kyi yang mendakwa akan berusaha untuk mencari dana bagi membantu kemajuan Rohingya di Rakhine.

Beliau yang dikritik hebat oleh dunia kerana gagal mem­bela nasib Rohingya disifatkan sehingga kini masih dibayangi pemerintahan junta dan kea­daan itu dibimbangi menyebabkan beliau terus gagal memberi hak demokrasi kepada etnik tersebut.

Malah, ada pendapat yang mengatakan Suu Kyi dijadikan boneka oleh junta Myanmar untuk melaksanakan pelbagai agenda yang bertentangan dengan suara demokrasi yang diperjuangkan oleh pemimpin tersebut.

Dan jika benar, tidak mustahil jika Rohingya masih ditindas dan dizalimi seolah seperti tiada kesudahan.

Apa yang pasti, tunggu dan lihat adalah jawapan terbaik kepada semua persoalan yang timbul selain berdoa supaya etnik Ro­hingya dapat melaya­ri kehidupan yang aman dan sejahtera sama seperti yang dinikmati penduduk Malaysia hari ini.