Perkembangan terbaharu ini memberi kemenangan kepada Beijing dalam kempennya untuk mengasingkan Taiwan yang dianggap sebagai sebuah negara di bawah republik komunis itu.

China telah menggunakan pengaruh ekonominya untuk memutuskan sokongan antarabangsa terhadap Taiwan yang dipimpin secara demokratik itu, meninggalkannya dengan hanya 17 sekutu diplomatik di seluruh dunia.

Menteri Luar China, Wang Yi memuji keputusan El Salvador yang didakwanya mengiktiraf satu-satunya negara China di dunia.

Menteri Luar El-Salvador, Carlos Castaneda yang menandatangani dokumen dengan Wang untuk menjalin hubu­ngan tersebut berkata, negaranya telah membuat keputusan strategik dan mengambil jalan yang tepat serta bermanfaat untuk rakyat kedua-dua negara.

Keputusan berkenaan di­umumkan oleh Presiden negara itu, Sanchez Ceren dalam satu ucapan di stesen televi­syen nasional semalam.

“Saya mengumumkan bahawa kami mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik di antara Republik El Salvador dan Taiwan, dan menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China,” katanya.

Sementara itu, Taiwan dilaporkan berikrar untuk bertindak balas terhadap tindakan China yang dikatakan menjadi-jadi apabila El Salvador menjadi negara ketiga beralih kepada China tahun ini.

Bercakap di Taipei, Presiden Tsai Ing-wen berkata, Taiwan tidak akan tunduk kepada tekanan dan menggambarkan langkah El Salvador sebagai bukti baharu usa­ha China untuk menggugat pulau itu selain rondaan kerap pesawat pengebom China di sekitar Taiwan.

“Kami akan beralih kepada negara-negara yang mempunyai nilai yang sama untuk menentang tindakan antarabangsa China yang semakin tidak terkawal itu,” kata Ing-wen.

Menteri Luarnya, Joseph Wu turut mengkritik tindakan China dan El Salvador.

“Kami tidak akan terlibat dalam diplomasi dolar dengan China.

“El Salvador sebelum ini meminta pembiayaan besar untuk projek pembangunan pelabuhan tetapi kami tidak bersedia memberikannya kerana kedua-dua negara boleh dibelenggu hutang,” jelasnya.– AGENSI