Langkah yang disifatkan sebagai kemenangan kepada Presiden Donald Trump itu yang menegaskan sekatan terbabit penting bagi keselamatan Amerika di sebalik kritikan yang menyifatkan langkah tersebut sebagai pencabulan Perlembagaan negara ini.

Keputusan oleh mahkamah tertinggi AS itu mengecilkan skop kuasa oleh mahkamah lebih rendah yang sebelum ini menghalang sepenuhnya perintah eksekutif Trump pada 6 Mac selain badan kehakiman terbabit bersetuju untuk mendengar rayuan kerajaan dalam kes berkenaan.

Sekatan itu menyaksikan peng­gantungan visa baharu daripada dikeluarkan kepada rakyat Iran, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen bagi tempoh sekurang-kurangnya 90 hari selain ia sebahagiannya membenarkan larangan selama 120 hari kepada semua pelarian daripada mema­suki Amerika.

Kedua-dua larangan itu akan dikuatkuasakan dalam tempoh 72 jam berdasarkan satu memorandum yang dikeluarkan oleh pentadbiran Trump pada 14 Jun.

Walaupun bersetuju untuk mendengar kes itu pada hujung tahun ini, Mahkamah Agung tetap membenarkan sebahagian daripada sekatan itu dikuatkuasakan.

Secara khusus, mahkamah berkata, perintah eksekutif itu akan dikuatkuasakan ke atas warganegara asing yang tidak mempunyai tuntutan yang boleh dipercayai mengenai hubungan bona fide dengan orang atau organisasi Amerika.

Ini bermakna, individu daripada enam negara yang dinyatakan dalam perintah itu dan tidak pernah datang ke Amerika atau mempunyai hubungan yang tidak kuat dengan rakyat mahupun pertubuhan dari AS boleh dinafikan visa mereka dalam tempoh tiga bulan tersebut.

Namun, maksud sebenar hubungan bona fide masih menjadi perdebatan sehingga kini.

Seorang hakim, Clarence Tho­mas menegaskan, kakitangan ke­ra­jaan perlu tahu membezakan antara rakyat asing yang mempunyai kaitan dengan AS dan mereka yang terbukti sebaliknya.

“Langkah itu akan menambah beban kepada kakitangan dengan tugas untuk menentukan sama ada seseorang individu daripada enam negara terlibat yang berhasrat memasuki AS mempunyai kaitan cukup kuat dengan individu mahupun pertubuhan di negara ini,” katanya sebagaimana lapor Al Jazeera.