Agensi berita rasmi KCNA memetik kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar sebagai berkata, tindakan PBB itu sama seperti mengenakan sekatan ekonomi ke atas Pyongyang.

Jelas laporan itu lagi, negara-negara yang menyokong langkah berkenaan bakal berdepan kesan buruk.

“AS benar-benar gelisah de­ngan pencapaian kami untuk melengkapkan negara kuasa nuklear dan oleh itu, mereka mengenakan sekatan yang lebih tegas serta tekanan terhadap Pyongyang.

“Kami akan memperkuatkan langkah pertahanan yang tersendiri bagi menyekat ancaman nuklear, ugutan dan tindakan bermusuhan AS dengan menjalankan keseimbangan kekuatan ketenteraan secara praktikal,” tegas kementerian terbabit.

Terdahulu, Majlis Kese­lamatan PBB (UNSC) sebulat suara menyokong resolusi untuk me­ngenakan sekatan baharu ke atas Korea Utara sebagai tindak balas terhadap ujian peluru berpandu balistik ba­ru-baru ini.

Resolusi PBB tersebut menyekat hampir 90 peratus eks­port petroleum ditapis ke Korea Utara yang dihadkan kepada 500,000 tong setahun ma­na­kala bekalan minyak mentah pula kepada empat juta tong setahun dan jumlah tersebut akan dikurangkan lagi jika Pyongyang terus melancarkan ujian nuklear.

Bagaimanapun arahan penghantaran pulang rakyat negara itu yang bekerja di luar negara diubah kepada tempoh 24 bulan dan bukannya 12 bulan yang dicadangkan dalam resolusi tersebut.

“Kami menyifatkan resolusi sekatan dicetuskan oleh AS dan seterunya sebagai melanggar kedaulatan negara serta tindakan perang yang melanggar keamanan serta kestabilan di Semenanjung Korea dan rantau ini, oleh itu kami menolak resolusi itu.

“Senjata nuklear kami adalah langkah mempertahankan diri dan tidak bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. AS tidak sepatutnya melupakan Korea Utara merupakan negara yang mampu memberikan ancaman nuklear kepada mereka,” jelas laporan agensi tersebut.