Ketua Hakim Palestin, Dr. Mahmoud al-Habash yang dipetik oleh agensi berita Islam antarabangsa, IINA berkata, Israel masih terus menghalang umat Islam beribadah dengan bebas.

Mahmoud yang juga Penasihat Presiden Palestin bagi Hal Ehwal Agama dan Hubungan Islam menuduh pentadbiran Benjamin Netanyahu sengaja menegangkan lagi keadaan de­ngan menukar status bersejarah Baitulmaqdis sejak ratusan tahun lalu.

“Tindakan Israel itu merupakan satu pencerobohan terang-terangan terhadap umat Islam dan melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.

Mahmoud berkata, Masjid al-Aqsa adalah hak eksklusif umat Islam dan campur tangan Israel merupakan pencabulan hak umat Islam sejagat.

Pada Ahad lepas, Israel membuka semula beberapa pintu masuk ke Masjid al-Aqsa secara beransur-ansur tetapi meletakkan pengesan logam serta kame­ra pengawasan atas alasan ke­selamatan.

Tindakan itu dikecam oleh rakyat Palestin sehingga mereka melancarkan Hari Kemarahan Palestin untuk membantah tindakan tersebut.

Dalam perkembangan berkai­tan, speaker dan diplomat daripada negara-negara Islam yang menghadiri perhimpunan sempena persidangan Tahafuz Harman Al Sharifain, Al-Aqsa di Rawalpindi, Pakistan menegaskan tindakan Israel mengunci Masjid al-Aqsa tidak dapat diterima umat Islam dan menggesa kerajaan Pakistan berhenti berdiam diri berhubung perkara itu.

Pakistan Today dalam laporannya berkata, perwakilan daripada pelbagai pertubuhan yang berucap dalam persidangan itu turut mengumumkan tarikh 21 Julai ini sebagai ‘Youm-e-Al-Aqsa’.

Pemimpin daripada pelbagai pertubuhan politik dan duta Palestin serta Jordan turut serta dalam persidangan itu.

Duta Palestin ke Pakistan, Waleed Abu Ali menegaskan, tindakan Israel mengunci Masjid al-Aqsa adalah pencabulan kepada hak asasi manusia dan bagi me­ngatasi cabaran itu, seluruh umat Islam perlu bersatu padu bagi kebebasan Masjid al-Aqsa dan ke­selamatan Haram al-Sharif.

Sementara itu, Perdana Men­­teri Israel, Benjamin Netanyahu dilapor sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk membuang pengesan logam di Masjid al-Aqsa di te­ngah-tengah pertikaian dengan penduduk Palestin berhubung akses ke kawasan di timur Baitulmaqdis.

Laporan itu muncul ketika ribuan umat Islam mengerjakan solat selama empat malam berturut-turut di luar pekarangan Haram al-Sharif yang dikenali penganut Yahudi sebagai Temple Mount.

Selepas solat, umat Islam mengadakan bantahan terhadap pengenalan langkah keselamatan itu sehingga menyaksikan pertempuran termasuk terbaharu yang berlaku malam semalam.

Netanyahu dalam lawatannya ke Hungary dilapor berunding dengan pembantu keselamatannya sama ada akan membuang pengesan logam itu menjelang solat Jumaat yang biasanya menarik lebih 30,000 umat Islam ke pekarangan tersebut. – AGENSI