Minggu lalu, India menarik balik 85 peratus wang kertas daripada sistem ekonomi negara ini yang banyak bergantung kepada wang tunai meskipun wang gantiannya, belum dapat disediakan secukupnya.

Keadaan itu telah mencetuskan huru-hara terutamanya dalam kalangan golongan miskin apabila ratusan ribu penduduk terpaksa beratur panjang selama beberapa jam di luar bank bagi menukar wang kertas 500 dan 1,000 rupee, untuk hari yang ketiga selepas pemansuhan di lakukan.

Menurut portal berita abc. net, Modi dalam nada penuh emosi mempertahankan langkah yang diambil kerajaan pimpinannya sebagai usaha memerangi gejala rasuah, aktiviti mengelak cukai dan pengubahan wang haram .

Modi turut merayu rakyat India bersabar dalam mendepani masalah itu sehingga akhir bulan depan sambil me­nyatakan kesediaannya me­nerima apa sahaja bentuk hukuman dari mereka andai perkara itu masih tidak dapat diselesaikan.

“Saya mohon anda semua beri saya masa sehingga 30 Disember ini.

“Jika anda dapati ada kekurangan, kesilapan atau apa-apa niat yang salah di pihak saya, saya akan bersedia untuk menghadapi apa sahaja hukuman daripada anda,” ujarnya.

Pengakuan itu di­buat selepas kerajaan meng­umumkan masalah tersebut akan berterusan kerana kelewatan percetakan wang kertas baharu dan isu-isu teknikal ketika memasukkan wang tersebut ke dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Pihak pengurusan beberapa bank juga dilaporkan terpaksa mengenakan had pengeluaran yang ketat bagi meredakan kemarahan penduduk yang sema­kin memun­cak aki­bat masalah tersebut.