Persidangan dwi-tahunan yang berlangsung selama empat hari dan dijangka berakhir Khamis ini itu dihadiri kira-kira 200 peserta dari 14 buah negara termasuk 11 negara ASEAN.

Dirasmikan oleh Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Muhadjir Effendy yang secara automatik dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) kali ini, persidangan itu turut diwarnai dengan beberapa acara kebudayaan setempat.

Malaysia diwakili Menteri Pendidikannya, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang diiringi beberapa delegasi termasuk Duta Besar Malaysia ke Jakarta, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim serta beberapa kenamaan lain.

Hadir sama Menteri Pendidikan Thailand yang juga bekas Presiden SEAMEO untuk persidangan lalu, Teerakiat Jareonsettasin serta Menteri Pendidikan dari negara-negara ASEAN yang lain.

Dengan tema ‘Memastikan pendidikan inklusif dan kualiti yang saksama serta mempromosikan peluang jangka hayat pembelajaran untuk semua generasi’, persidangan kali ini diharap berupaya meningkatkan kerjasama lebih kukuh menerusi bidang pendidikan dalam kalangan negara-negara anggota.-UTUSAN ONLINE