Morrison akan menjadi Perdana Menteri keenam Australia dalam tempoh kurang 10 tahun selepas memenangi pertandingan tiga pejuru dengan bekas Menteri Dalam Negeri, Peter Dutton dan Menteri Luar Julie Bishop.

“Tugas kami selepas menerajui kepimpinan ini sebagai generasi baharu, bertujuan memastikan bukan sahaja ahli parti kembali bersatu berikutan pergolakan sejak beberapa minggu ini, tetapi juga akan menyatukan semula Parlimen negara ini,” kata Morrison dalam penampilan pertama selepas kemenangannya.

Turnbull, yang memanggil mesyuarat kepimpinan selepas kehilangan sokongan majoriti parti, memilih untuk tidak bertanding dalam undian tersebut.

Bagaimanapun, kemenangan Morrison tidak dapat menamatkan ketidakstabilan politik di Australia selepas bekas Perdana Menteri, Malcolm Turnbull berkata, beliau akan meletak jawatan dari Parlimen.

Turnbull dilaporkan memberitahu wartawan selepas undian tersebut dibuat bahawa beliau akan meninggalkan Parlimen tidak lama lagi.

Keadaan itu akan memaksa pi­lihan raya kecil diadakan dan pada masa sama mempertaruhkan majoriti satu kerusi yang dimiliki parti tersebut.

Parti Liberal adalah rakan kongsi kanan dalam kerajaan gabungan konservatif Liberal-Nasional yang secara konsisten mengatasi pembangkang daripada Parti Buruh dalam tinjauan pendapat sejak beberapa bulan lalu.

Turnbull menyalahkan sikap balas dendam, cita-cita peribadi dan perselisihan antara kumpulan dalam parti yang dipimpin oleh Ahli Parlimen konservatif termasuk bekas Perdana Menteri, Tony Abbott ekoran penyingkirannya.

“Orang Australia pastinya sangat terkejut dengan apa yang berlaku sepanjang minggu lalu. Tiada perdana menteri yang mampu mempertahankan jawatannya untuk tempoh satu penggal sejak beberapa dekad lalu,” katanya.

Pertempuran kepemimpinan parti Liberal tercetus Selasa lalu selepas Dutton melancarkan tentangan yang tidak berhasil terhadap Turnbull.

Turnbull mengadakan mesyua­rat parti hari ini ekoran tekanan yang semakin memuncak untuk mengadakan undian kedua selepas beliau menerima surat ditandatangani oleh majo­riti ahli parti yang meminta perubahan dalam kepemimpinan.

Morrison mengalahkan Dutton dalam bilik undian terakhir parti dengan majoriti 45-40.

Kemenangannya memberi reaksi positif kepada pasaran kewangan dan saham Australia yang dilaporkan naik lebih tinggi selepas tiga hari mengalami kerugian.–REUTERS